Isnin, 11 Januari 2010

Pelajar ditahan di Mesir, sambung pengajian di UK

UTUSAN ONLINE


KUANTAN - Pelajar Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Mesir kerana terlibat dalam tunjuk perasaan membabitkan anggota konvoi kemanusiaan Viva Palestina di negara itu Selasa lalu, selamat tiba di Britain hari ini untuk meneruskan pengajiannya.

Ibrahim Mohd. Azmi, 23, pelajar perubatan di Universiti Bristol, selamat tiba di negara itu kira-kira pukul 4.30 pagi ini waktu Malaysia.

Menurut bapanya, Dr. Azmi Mohd. Ghazali, anaknya yang kini berada dalam keadaan baik dijadualkan meneruskan pengajiannya seperti biasa.

"Saya bersyukur kerana Ibrahim selamat sampai di UK walaupun berada dalam keadaan letih," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian Selasa lalu, Polis Mesir bertindak terhadap anggota konvoi kemanusiaan Viva Palestina selepas mereka menunjuk perasaan di hadapan pintu masuk dan keluar pelabuhan El-Arish.

Tunjuk perasaan itu berlaku selepas Kerajaan Mesir melarang 59 buah kenderaan konvoi Viva Palestina yang membawa pelbagai bantuan kemanusiaan daripada meneruskan perjalanan mereka ke Gaza.

Dalam kejadian itu, lebih 10 anggota konvoi Viva Palestina cedera dengan empat daripada mereka parah manakala tujuh lagi ditahan polis termasuk Ibrahim.

Azmi berkata, beliau sekeluarga amat berterima kasih kepada usaha isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Kedutaan Malaysia di Mesir yang berjaya membebaskan anaknya itu.

"Saya bersyukur Ibrahim telah dibebaskan dan kerajaan telah mengambil tindakan segera untuk membantu mengeluarkan anak saya dari tahanan.

"Syukur kepada Allah dan terima kasih kepada semua pihak yang membantu membebaskan Ibrahim," katanya.

Sementara itu, Azmi memberitahu, anaknya memaklumkan kepadanya untuk menyertai konvoi berkenaan bagi mengambil gambar sekitar Gaza.

"Kami sekeluarga memang sukakan bidang fotografi tetapi mungkin tindakan Ibrahim merupakan satu keputusan yang kurang tepat," katanya.

Ditanya sama ada anaknya itu akan dibenarkan mengikuti konvoi kemanusiaan yang lain pada masa hadapan, Azmi berkata, ia terpulang kepada Ibrahim untuk membuat keputusan kerana pelajar terbabit memang berminat melakukan kerja amal.

Tiada ulasan: