Rabu, 6 Januari 2010

PAS sokong himpunan aman bantah Mesir Jumaat ini

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: PAS menyeru semua ahli, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan golongan yang simpati kepada nasib rakyat Palestin untuk menyertai perhimpunan aman pada 8 Januari ini sebagai membantah tindakan Kerajaan Mesir yang berkerjasama dengan Zionis Israel untuk menindas umat Islam di Gaza.

“PAS menyokong tindakan sayap Pemuda PAS yang akan mengadakan himpunan aman dan menyerahkan memorandum bantahan pada 8 Januari ini,” ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa kepada rakyat Malaysia yang prihatin untuk berkumpul di Bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak sebelum berarak ke Kedutaan Mesir selepas solat Jumaat bagi menyatakan bantahan tersebut.

Ini, katanya berikutan Kerajaan Mesir dilaporkan enggan membenarkan sebuah kapal yang membawa konvoi antarabangsa melibatkan 17 buah negara dengan 150 kenderaan membawa beratus-ratus tan bekalan kemanusiaan masuk ke Gaza melalui pelabuhan Nuweiba di Laut Merah.

Kerajaan Mesir telah mendesak konvoi Viva Palestina berkenaan menyerahkan bantuan melalui pelabuhan Mediterranean, iaitu jarak lebih jauh yang memerlukan konvoi berkenaan berpusing ke semenanjung Sinai dan melalui Terusan Suez sebelum sampai ke El-Arish kelmarin.

“Kezaliman Mesir ini jelas membuktikan sokong mereka kepada tindakan Israel yang menutup pintu sempadan di Nahal Ozz di timur pusat bandar Gaza dan mengepung rakyat Palestin dengan hanya membenarkan satu laluan sahaja dibuka untuk memasuki Gaza iaitu melalui Kerem Shalom di tenggara Semenanjung Gaza,” katanya.

Tambahnya, tidak cukup dengan itu, Mesir juga didapati menutup mata dengan tindakan Israel yang meluluskan pembinaan empat bangunan apartmen baru untuk peneroka haram Yahudi di timur Baitulmaqdis yang berada dalam wilayah rakyat Palestin.

PAS, katanya kesal kerana sebagai sebuah negara Islam dan anggota OIC, Mesir tergamak bersubahat dalam menindas rakyat Palestin.

Tiada ulasan: