Rabu, 20 Januari 2010

PAS Perak cari bukti daftar pemilih berganda

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Husain meminta semua ahli peka dengan maklumat berhubung usaha tersusun pihak-pihak tertentu untuk memastikan Umno dan Barisan Nasional (BN) menang pilihan raya di Perak melalui pendaftaran pemilih berganda.

Beliau ketika diminta mengulas mengenai pendedahan satu sumber di Perak bahawa terdapat pihak-pihak tertentu mengarahkan semua anggota polis membuat kad pengenalan awam bagi membolehkan mereka mengundi dua kali berkata, PAS Perak sedang berusaha mendapatkan kesahihan dan mengumpul bukti mengenai maklumat yang didedahkan sumber itu.

"Kita sedang berusaha mengumpul maklumat dan bukti untuk mengesahkan perkara itu. Bila kita dengar cerita, kena cari maklumatlah," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Abu Bakar juga berkata, PAS Perak memandang serius pendedahan sumber itu kerana ianya timbul ketika ura-ura pilihan raya akan diadakan dalam masa terdekat ini, kemungkinan besar pada penghujung tahun ini juga khasnya di Perak.

"Kita tak boleh abaikan apa yang kita dengar ini begitu sahaja.Kita kena pastikan tindakan ini memang merupakan keperluan kepada anggota polis atau ianya memang satu strategi pilihan raya yang digunakan Umno BN," katanya lagi.

Bagaimanapun, beliau menyeru seluruh ahli agar tidak terburu-buru dalam membuat sebarang tindakan berhubung maklumat yang didedahkan itu

"Saya pesan kepada semua ahli di setiap kawasan agar berhati-hati dengan sebarang maklumat yang diterima dan berusaha mencari bukti berkaitan perkara yang didedahkan itu," ujarnya.

Satu sumber memaklumkan Harakahdaily pagi tadi bahawa beberapa pegawai polis di satu kawasan di Perak dalam perbualan mereka memberitahu, kesemua 14 anggotanya diarahkan agar membuat kad pengenalan biasa walaupun tempoh perkhidmatan mereka masih panjang.

Menurut sumber berkenaan, pegawai polis itu memberitahu, kesemua mereka diarahkan membuat kad pengenalan itu di pejabat pendaftaran secara berperingkat.

Pembantu peribadi Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Amran Harun yang dihubungi sumber berkenaan juga memberitahu, beliau turut mendapat maklumat tersebut malam tadi daripada pihak polis.

Cara yang dilakukan pihak-pihak berkenaan membolehkan anggota polis mengundi dua kali iaitu satu menggunakan kad pengenalan polis dan satu lagi kad pengenalan awam.

Tiada ulasan: