Rabu, 6 Januari 2010

Panel syor Sultan Kelantan teruskan rawatan di HKL

SINAR HARIAN ONLINE


KOTA BHARU - Panel enam pakar perubatan merumuskan keadaan kesihatan Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Ibni Sultan Yahya Petra yang kini dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura stabil untuk dibawa pulang bagi meneruskan rawatan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan perkara tersebut setelah merujuk kepada laporan panel yang bertarikh 24 Disember lalu.

Menurutnya, enam pakar dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Institut Jantung Negara Kuala Lumpur dan Hospital Kuala Lumpur telah dilantik sebagai panel dengan menyediakan laporan perubatan Sultan Kelantan.

“Laporan tersebut menyatakan Tuanku Sultan masih tidak dapat mengerakkan tangan dan kaki, daya penglihatan kurang dan percakapan terjejas.

“Baginda diberi makanan melalui tiub di perut serta diberi rawatan yang intensif dari segi ubatan, fisioterapi, terapi cara kerja dan terapi pertuturan,” katanya di pejabatnya di sini, semalam.

Nik Aziz berkata, hasil rumusan panel tersebut mencadangkan Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebagai hospital paling sesuai.

“Saya sekali lagi mengulangi hasrat Kerajaan Negeri supaya Tuanku Sultan dibawa pulang untuk rawatan di hospital negara ini,” katanya.

Sebelum ini, Nik Abdul Aziz mengumumkan bahawa Ahli Mesyuarat Negeri Kelantan memohon pemangku Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra memindahkan baginda Sultan mendapatkan rawatan lanjut di dalam negara.

Tiada ulasan: