Sabtu, 16 Januari 2010

PAC dapatkan penjelasan kes dua enjin F-5E hilang

Oleh Norfatimah Ahmad


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Jabatan Audit Negara akan mendapatkan penjelasan Kementerian Pertahanan berhubung kes kehilangan dua enjin pesawat tempur F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), minggu depan.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid, berkata tindakan itu bagi mendapatkan maklumat terperinci berkaitan kejadian berkenaan, selain meneliti sebarang kelemahan pada sistem yang dilaksanakan di kementerian berkenaan.

“Kita percaya semua agensi kerajaan mempunyai sistem tersendiri untuk menjaga aset termasuk peralatan ganti, bagaimanapun kewujudan sistem berkenaan ada kalanya menyebabkan ada pihak yang mengambil kesempatan terutama apabila mengesan sebarang kelemahan dalam sistem itu.

“Kita bukan saja mahu mengesan kelemahan itu, malah mencari penyelesaian untuk memperbaiki sistem berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Akhbar ini baru-baru ini mendedahkan kehilangan dua enjin GE J85 21-A ketika dibawa keluar dari pangkalan Skuadron 12 Scorpion di Butterworth untuk penyelenggaraan rutin di Pangkalan Udara Kuala Lumpur.

Minggu lalu, seorang anggota tentera udara berpangkat sarjan dan seorang ahli perniagaan yang juga pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya berhubung kehilangan dua enjin pesawat tempur F-5E itu pada 2007 dan 2008.

Sarjan TUDM, N Tharmendran, 42, dari Pangkalan TUDM Subang dituduh bersubahat dengan Laskar Udara Kanan, Mohamad Shukri Mohamad Yusop melakukan kecurian dalam bangunan Materiel Processing Shed, Matra 1, Pangkalan TUDM Kuala Lumpur, Sungai Besi, iaitu dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 bernombor E227718 dan E227856.

Tharmendran dituduh melakukan kesalahan itu di Air Movement Section, Pangkalan TUDM Subang di sini, sekitar Disember 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Ahli perniagaan, K Rajandran Prasad, 37, pula dituduh dengan sengaja menolong menghapuskan harta iaitu dua enjin pesawat F-5E, yang mana dia mempunyai sebab untuk mempercayainya sebagai harta curi di No 49, Jalan TS 6/6 Taman Industri Subang di sini, pada 30 April 2008.

Ditanya siapa yang dipanggil untuk memberi penjelasan itu, Azmi berkata, kebiasaannya Ketua Setiausaha kementerian yang akan berbuat demikian, bagaimanapun pihaknya menyerahkan kepada kementerian berkenaan untuk mempertimbangkan perkara itu.

Tiada ulasan: