Sabtu, 23 Januari 2010

Nilai 1Malaysia = RM1

Oleh LanH


PEMERINTAH, dikepalai Perdana Menteri Najib Razak menguar-uarkan konsep 1Malaysia (sepatutnya ditulis 1-Malaysia) dan menghebohkan slogan 'Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan'. Juga dihebahkan nilai prestasi kerja kementerian dan pegawai kerajaan.

Sewajarnya dengan konsep yang kedengaran murni dan hebat ini, kebajikan rakyat semakin terjamin. Tetapi apabila tahun baru menjelang (belum pun setahun Najib jadi PM), rakyat semakin terbeban. Pada tanggal 1 Januari 2010, harga salah satu bahan keperluan (gula) dinaikkan 20 sen sekilogram dan dengan pantas diikuti kenaikan harga roti sedangkan menteri dan pegawai masih terhegeh-hegeh berkata kenaikan harga gula tidak menyebabkan harga barangan lain naik.


Pada sesi awal persekolahan pula ibu bapa dikejutkan dengan pelbagai kenaikan yuran. Misalnya yuran makanan anak-anak di sekolah berasrama dinaikkan daripada RM1 sehari kepada RM3 sehari bagi ibu bapa berpendapatan lebih RM5,000. Tindakan ini sebahagiannya kerana kerajaan 'terpaksa berjimat' disebabkan peruntukan untuk sektor ini dikurangkan.

Laporan menyebut peruntukan untuk sekolah-sekolah melalui Kementerian Pelajaran dikurangkan daripada RM27 bilion kepada RM25 bilion. Begitu 'sengkek'nya kerajaan yang mahu menjimatkan perbelanjaan pendidikan apabila mengarahkan pihak asrama sekolah menyediakan makanan bagi 200 hari sedangkan hari persekolahan adalah 210 hari dan sebelum ini makanan disediakan untuk 250 hari.

Jadi pada hari pendaftaran persekolahan baru-baru ini, berlakulah kekecohan sehingga ada pengurusan asrama meluahkan kata-kata: "Pada setiap hujung minggu ambillah balik anak-anak kerana asrama tidak menyediakan makanan. Pada hari cuti umum pun ambillah anak-anak balik."

Bagi anak-anak yang ibu bapa mereka bergaji kurang RM5,000; yuran makanan anak mereka setahun adalah 200 hari x RM1 menjadi RM200 dan ditambah pelbagai yuran lain di asrama, bayarannya boleh meningkat sehingga RM400 tetapi bagi penjaga yang bergaji lebih RM5,000; bayarannya adalah 200 hari x RM3 menjadi RM600 dan dengan pelbagai yuran lain boleh meningkat sehingga RM1,000.

Demikianlah betapa berkiranya kerajaan dalam perbelanjaan persekolahan (memberi makan) anak-anak ini sehinggakan RM1 atau RM2 pun berkira (termasuk juga hari persekolahan, dikira 200 hari, hakikatnya 210 hari) tetapi wajarkah 'langkah berjimat' dalam perkara ini sedangkan ketelusan di bidang lain dipersoalkan.

Berbilion-bilion ringgit duit kerajaan didakwa rugi begitu sahaja pada zaman PM Dr Mahathir Mohamad dan PM Abdullah Ahmad Badawi; apakah ini dibiarkan begitu sahaja sedangkan rakyat termasuk budak sekolah diminta untuk mengikat perut.

Apabila wang RM1 dan RM2 mahu diperas daripada poket rakyat (kenaikan yuran makan asrama dan kenaikan harga gula dan roti) dan ditambah pula dengan kejadian menggelikan akhir-akhir ini seperti enjin dua jet pejuang boleh hilang; maka ada rakyat menyamakan kerajaan 1Malaysia sekarang sebagai kerajaan RM1. Ringkasnya 1Malaysia = 1 Ringgit Malaysia (1M = RM1).

Slogan 'baru' 1M = RM1 ini mula diperkatakan pelbagai pihak. Dalam ceramah dan pertemuan yang penulis hadiri, ada diutarakan perkara ini. 1M = RM1 membabitkan pelbagai isu. Selain tak malu mendapatkan duit rakyat sebanyak 20 sen (kurang RM1) dalam menaikkan harga gula; pengusaha roti pun sudah mengutip RM0.20 atau RM0.30 (juga kurang RM1) daripada orang awam.

Kemudian timbul pula isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Apabila cukai ini dilaksanakan kelak, RM2, RM1 atau kurang daripada itu akan dikutip daripada setiap barangan dibeli rakyat. Sekali lagi 1M akan jadi RM1 (1M = RM1). Kerana konsep 1M rakyat terpaksa berpisah dengan RM1 mereka.

Kemudian dihebohkan pula RM1 (atau lebih atau kurang) akan dikutip daripada rakyat apabila berlaku kenaikan kadar perkhidmatan seperti bil air dan elektrik. Dengan juga kenaikan bahan bakar seperti gas, akan naik juga RM1 atau lebih daripada itu.

Kerana kerapnya berlaku kenaikan kurang atau lebih sedikit daripada RM1 dalam hampir setiap barangan dan perkhidmatan, maka sahlah 'persamaan baru' 1M = RM1.

Tetapi rakyat perlu ingat kenaikan RM1 itu adalah bagi setiap unit bukan keseluruhan pembelian. Sekali isi minyak kereta, kosnya mungkin meningkat RM10, demikian juga kadar elektrik. Kenaikan 1 sen bagi setiap unit mungkin akan mengakibatkan bil bulanannya meningkat RM10 atau RM20 sebulan.

Jadi apabila kerajaan terlalu memikirkan cara, malah sudah pun mengambil langkah mendapatkan RM1 daripada rakyat (seperti kenaikan harga gula, kenaikan yuran makanan asrama, bil elektrik dan air) maka sahlah persamaan baru 1Malaysia = 1 Ringgit Malaysia (1M = RM1). Lagi pun tanda 1M dan 1RM hampir-hampir sama, betul tak? Itu nasib baik juga, kalau 1Malaysia = 1 sen, dah dikira lagi dahsyat

Tiada ulasan: