Selasa, 19 Januari 2010

Nik Abduh tolak jawatan lantikan politik

Rizal Tahir


PENGKALAN CHEPA: Ketua Dewan Pemuda Pengkalan Chepa, Nik Abduh Nik Abdul Aziz menjelaskan beliau menolak jawatan lantikan politik tahun ini bagi menumpu perhatian kepada perniagaan.

Selain itu hasratnya menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Rekod kedatangan saya pada setiap mesyuarat tahun lepas agak buruk.

“Jadi saya khuatir nanti akan menjejas prestasi dan perjalanan jabatan atau agensi yang saya wakili,” katanya ketika ditemui selepas penyampaian sumbangan kepada sekolah agama di sini, semalam.

Baru-baru ini, Nik Abduh tidak hadir pada majlis angkat sumpah dan penerimaan watikah pelantikan sebagai anggota majlis Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI).

Majlis tersebut dirasmikan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Nik Abduh yang juga anak kepada Menteri Besar Kelantan menjelaskan beliau berhasrat melepaskan jawatan lantikan politik sejak tahun lepas lagi.

Beliau bimbang penerimaan jawatan tersebut akan menyusahkan banyak pihak kerana mempunyai komitmen lain.

Bagaimanapun, beliau memberitahu tidak akan melepaskan jawatan politik yang disandangnya sekarang iaitu Ketua Pemuda PAS Pengkalan Chepa dan Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat.

Menurutnya juga peristiwa membabitkan adik iparnya, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman yang meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dianggap tidak menjejaskan maruah keluarganya.

Pada majlis tersebut sebanyak 11 sekolah agama dan tahfiz dari seluruh negara menerima sumbang dari Tok Guru Nutraceuticals Marketing.

Tiada ulasan: