Isnin, 11 Januari 2010

NGO desak kerajaan guna ISA

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) dan Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas termasuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap mereka yang cuba membakar rumah ibadat.

Menurut mereka, tindakan itu wajar dilakukan bagi menjamin keamanan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum di negara ini berkekalan.

Presiden PBTM, Senator Datuk Muhammad Ghani berkata, pihak terbabit wajar ditahan di bawah ISA kerana perbuatan mereka boleh mengganggu ketenteraman awam.

"Keselamatan negara akan terus terancam sekiranya perbuatan mereka dibiarkan begitu sahaja," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan perlu bertindak segera bagi mengatasi masalah tersebut sebelum ia merebak lebih jauh.

Awal pagi kelmarin, tiga buah gereja di Lembah Klang iaitu Gereja Metro Tarbenacle, Gereja Assumption dan Gereja Chapel telah dibaling dengan bom petrol bagaimanapun hanya Gereja Metro Tarbenacle yang terbakar teruk.

Insiden serangan terhadap rumah ibadat itu berterusan pula di Taman Menara Maju, Kampung Jawa, Klang Cermin apabila pintu cerminnya dibaling batu.

Sementara itu, Presiden PBPM, Shafie Bakri pula berkata, beliau percaya pihak polis akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap insiden tersebut termasuk mengambil tindakan ISA sekiranya keadaan tidak terkawal lagi.

Katanya, isu itu perlu ditangani secara berhemah bagi mengelakkan berlakunya implikasi yang boleh mencetuskan pergaduhan antara kaum.

"Kita memang bersetuju sekiranya kerajaan mengambil langkah tegas ke atas pihak yang bertindak menyerang gereja dan surau ini.

Bagaimanapun buat masa ini keadaan masih terkawal," jelasnya.

Tiada ulasan: