Jumaat, 22 Januari 2010

Nasib Dr Hasan, Khalid dijangka diketahui hari ini

Abdul Rahim Sabri


Dua pemimpin popular PAS, Datuk Dr Hasan Ali dan ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad, dipanggil hadir di ibupejabat agung PAS petang ini untuk dimaklumkan mengenai keputusan siasatan jawatankuasa disiplin parti itu terhadap mereka.

Perkara itu dinyatakan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi media selepas selesai mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa tersebut tadi.

Tuan Ibrahim yang mengetuai jawatankuasa disiplin PAS berkata, pihaknya sedang menunggu mereka kedua-duanya tiba di pejabat agung parti itu.

Selepas itu, katanya, keputusan siasatan tersebut akan diumumkan kepada pihak media.

Dr Hasan, pesuruhjaya PAS Selangor, dan Khalid, bekas timbalannya yang dipecat, dihadapkan kepada jawatankuasa tersebut berhubung dakwaan berkaitan tindak-tanduk kedua-duanya yang boleh merugikan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Siasatan ini dibentuk mulai hujung tahun lalu selepas jawatankuasa pusat PAS menerima desakan hebat dari mursyidul amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar beberapa kerat pemimpinnya dikenakan tindakan kerana terus ingin kerjasama dengan Umno.

Menurut sumber yang rapat dengan PAS Selangor, Dr Hasan sedang dalam perjalanan ke ibupejabat parti itu, manakala Khalid tidak dapat dihubungi.

Tiada ulasan: