Khamis, 7 Januari 2010

Mohd Shukri Dilantik Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM

BERNAMA


PUTRAJAYA: Datuk Mohd Shukri Abdull, 49, dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru, demikian diumumkan Ketua Pesuruhjaya, Datuk Abu Kassim Mohamed.

Mohd Shukri yang pelantikannya berkuatkuasa pada 1 Januari lepas, sebelum ini merupakan Pengarah Siasatan SPRM.

Bercakap kepada pemberita selepas pengumuman di ibu pejabat suruhanjaya itu, Mohd Shukri berkata, beliau akan memberi tumpuan kepada keskes berprofil tinggi dan kes yang menarik perhatian umum.

"Selama ini saya hanya jaga siasatan, sekarang nampak gaya tanggungjawab saya lebih besar kerana jaga perisikan, di mana perisikan dan siasatan akan jadi satu tugas yang lengkap bagi operasi.

"Saya akan teruskan tugas Datuk Abu Kassim, keutamaan saya akan fokuskan kepada keskes berprofil tinggi dan juga kes berkepentingan umum sebab kes ini tarik perhatian orang ramai.

"Dan ini selaras dengan bidang keberhasilan utama negara (NKRA) dalam bidang rasuah, maka satu daripadanya ialah siasatan keskes rasuah besar, jadi inilah tumpuan saya untuk tahun 2010," katanya.Pada masa sama, Mohd Shukri juga akan menjalankan tugas sebagai Pengarah Siasatan SPRM, sehingga penggantinya diumumkan.

Berkelulusan ijazah pertama dalam bidang Geografi dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Mohd Shukri menyertai Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang kini dikenali sebagai SPRM pada 1 September 1984 di Cawangan Akaun agensi itu dan berpengalaman luas dalam penyiasatan.

Beliau pernah memegang jawatan Timbalan Pengarah Siasatan dan Pengarah di Sabah, Kelantan, Perlis, Kedah serta Ketua Unit Siasatan di Pulau Pinang dan Ketua Unit Siasatan Cawangan Tindakan Khas.

Jawatan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan)) SPRM kekal dipegang oleh Datuk Zakaria Jaafar.

Tiada ulasan: