Jumaat, 8 Januari 2010

Miskin tegar sifar 2011

Oleh MARZITA ABDULLAH


KANGAR – Kerajaan akan berusaha untuk memastikan tiada lagi golongan miskin tegar di negara ini menjelang 2011 nanti.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, ketika ini terdapat sejumlah 49,413 keluarga miskin tegar di seluruh negara dengan pendapatan isi rumah kurang daripada RM440 sebulan.

Justeru, katanya, usaha bersepadu akan dilakukan sepanjang tahun ini melalui Program Kebajikan Produktif (PKP) bagi memastikan kesemua keluarga berkenaan dikeluarkan dari senarai kumpulan miskin tegar.

“Sejumlah RM714.13 juta disalurkan bagi membantu kumpulan berkenaan termasuk juga 357,135 keluarga yang kurang berkemampuan untuk membolehkan mereka memulakan aktiviti perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Jalinan Rakyat dan Skuad Sayang peringkat negeri Perlis di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu.

Kata beliau, Perlis dipilih sebagai negeri perintis bagi menjayakan program berkenaan.

“Sebanyak RM10.2 juta akan diagihkan kepada 5,749 penerima di negeri ini dengan jumlah keseluruhan kes sebanyak 6,900,” katanya.

Sehingga kini, sebanyak 28 keluarga dikenal pasti dan 13 keluarga telah diberi bantuan untuk memulakan perniagaan.

Shahrizat berkata, pihaknya juga akan memastikan tiada masalah pertindihan berlaku dalam proses pengagihan bantuan.

“Kita telah memastikan kesemua penerima bantuan didaftarkan menerusi pangkalan data e-Kasih Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan Wanita UMNO supaya meneruskan budaya mendampingi masyarakat pelbagai kaum, termasuk menghulurkan bantuan selayaknya.

“Kita tidak perlu menunggu pilihan raya untuk berdamping dengan masyarakat. Justeru, program Jalinan Rakyat dan Skuad Sayang ini adalah landasan terbaik ke arah itu,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia mengingatkan mereka yang terlibat supaya tidak memberi tumpuan hanya kepada hospital ataupun rumah kebajikan sahaja bagi melaksanakan kerja amal.

“Kita jangan lupa untuk berdamping dengan golongan wanita di masjid dan surau,’’ tegasnya.

Pelancaran program Jalinan Rakyat dan Skuad Sayang itu turut dihadiri oleh Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim; Ketua Pergerakan Wanita UMNO Perlis, Rela Ahmad; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Kangar, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad

Tiada ulasan: