Khamis, 14 Januari 2010

Menteri nafi harga gula naik sebelum raya Cina

UTUSAN ONLINE


TEMERLOH - Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) menafikan kononnya harga gula akan dinaikkan sekali lagi menjelang perayaan Tahun Baru Cina (TBC) bulan depan.

Sebaliknya, beliau memberi jaminan harga gula tidak akan dinaikkan sama ada sebelum atau pun selepas musim perayaan tersebut.

Beliau menyifatkan spekulasi itu sengaja disebarkan pihak yang tidak bertanggungjawab semata-mata untuk meraih keuntungan dan ia menjadi trend setiap kali menjelang musim perayaan.

"Mereka mahu sorok gula dengan harapan dapat dijual semula dengan harga yang lebih tinggi jika betul kerajaan umum kenaikan.

"Jika harga gula tidak naik, mereka akan keluarkan semula dan jual dengan harga biasa. Dalam hal ini, rakyat yang menjadi susah kerana tidak dapat beli gula dalam tempoh tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau mengulas spekulasi yang tersebar di beberapa daerah di negeri ini kononnya kerajaan sekali lagi akan menaikkan harga gula menjelang Tahun Baru Cina, Februari ini.

Sehubungan itu, Ismail Sabri menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh atau mempercayai berita tersebut dan tidak menyebarkan khabar angin tersebut.

Tiada ulasan: