Ahad, 10 Januari 2010

Menteri kesal kopi O dijual RM1 secawan

UTUSAN ONLINE


MELAKA - Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe kesal dengan tindakan segelintir peniaga makanan yang menaikkan harga minuman ekoran kenaikan harga gula termasuk menjual kopi O secawan RM1.

Menurutnya, kenaikan harga secawan kopi itu tidak wajar dilakukan kerana harga gula dinaikkan begitu minimum.

"Jika harga secawan kopi O dinaikkan sehingga RM1 berbanding 90 sen sebelum ini, bermakna secawan minuman itu mempunyai setengah kilogram gula, ia tidak munasabah langsung," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan pemeriksaan harga di Pasar Melaka Sentral dan Tesco di sini hari ini.

Berkuat kuasa 1 Januari lalu, harga runcit gula dinaikkan 20 sen sekilogram iaitu RM1.65 di Semenanjung dan RM1.75 di Sabah dan Sarawak.

Menurut Lian Hoe, kementerian berharap tiada peniaga minuman menaikan harga selepas ini memandangkan pihaknya sudah mendapat jaminan daripada pengusaha dan persatuan restoran untuk tidak berbuat demikian.

"Kementerian sudah mendapatkan jaminan daripada pengusaha makanan dan minuman semalam bahawa mereka tidak menaikkan harga barangan.

"Oleh itu peniaga makanan dan minuman tidak ada alasan lagi untuk menaikkan harga selepas ini," katanya.

Kata beliau, sejak kenaikan harga gula diumumkan, kementeriannya menerima kurang 100 aduan daripada pengguna berhubung tindakan peniaga menaikan harga barangan.

Ujarnya, kementerian kesal apabila terdapat aduan yang diterima membabitkan kenaikan harga barangan yang tiada berkaitan dengan penggunaan gula seperti ikan bilis.

"Saya tidak tahu apa kaitan ikan bilis dengan gula sehingga ada peniaga yang menaikkan harga makanan tersebut," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan pegawai pemantau harga kementerian tersebut membuat pemantauan berterusan dan menyediakan laporan mengenainya dari semasa ke semasa.

Tiada ulasan: