Isnin, 18 Januari 2010

Mara kesan ramai pelajar bermasalah kahwin warga asing

BERITA HARIAN ONLINE


KOTA BHARU: Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengesan 30 pelajar tajaannya di luar negara terbabit dengan pelbagai masalah, termasuk berkahwin dengan warga asing di tempat mereka belajar.

Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata daripada ribuan pelajar yang dihantar Mara, sudah tentu segelintir menimbulkan masalah, mungkin disebabkan faktor usia yang terlalu muda.

Bagaimanapun katanya, Mara akan mengadakan rundingan serta perbincangan dengan pelajar bermasalah itu, dengan menumpukan mengikut kes, sebelum sebarang tindakan diambil.

“Mara mempunyai ribuan pelajar tajaannya di luar negara dan memang ada pelajar yang terbabit dengan pelbagai masalah, kalau tidak wujud (masalah), ia sudah tidak betul.

“Daripada antara 2,000 hingga 3,000 pelajar yang kita hantar ke luar negara, ia membabitkan antara 20 hingga 30 kes pelajar bermasalah termasuk berkahwin dengan warga asing.

“Mereka semua muda. Bila muda, apa-apa saja boleh berlaku, namun Mara mengadakan kaunseling secara bersemuka dengan mereka untuk mengetahui perkara sebenar selain memberi nasihat, sebelum mengambil tindakan selanjutnya,” katanya selepas merasmikan Majlis Kesyukuran Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pasir Tumbuh, dekat sini, semalam.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai sama ada pelajar tajaan Mara yang belajar di luar negara terbabit dengan masalah akan ditarik tajaannya, antaranya berkahwin dengan warga asing di negara tempat belajar.

Sementara itu, Idris berkata, dalam usaha memperbaiki serta meningkatkan pendidikan di MRSM khususnya membabitkan nilai agama, Mara mewujudkan MRSM Ulul Albab dengan menjadikan MRSM Kota Putra, Terengganu, sebagai perintisnya, yang dilancarkan tahun lalu.

“Tahun ini Mara melancarkan satu lagi MRSM Ulul Albab iaitu MRSM Gemencheh, Negeri Sembilan, hari ini dan satu lagi tahun depan di utara Semenanjung.

“Ulul Albab adalah satu program tambah nilai dari program sedia ada di MRSM dan pelajarnya perlu menghafaz 10 juzuk al-Quran setahun dalam usaha melahirkan pelajar yang bukan saja hebat soal dunia, tetapi juga membabitkan agama,” katanya.

Tiada ulasan: