Jumaat, 15 Januari 2010

Majlis Peguam nasihat ahli jalankan tugas tanpa perlu takut

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Majlis Peguam mahu pengamal undang-undang menjalankan tugas seperti biasa tanpa perlu bimbang dengan dengan insiden pecah masuk pejabat firma undang-undang yang mewakili kes majalah Herald-The Catholic Weekly, pagi semalam.

Presidennya, K Ragunath berkata, jika insiden itu berkaitan dengan peranan mereka dalam kes membabitkan Herald, ia adalah satu gangguan kepada peguam.

“Peguam-peguam bimbang jika mereka dibabitkan dan terus dikecam dengan pelbagai serangan dan ugutan.

“Kedua-dua pendakwa dan peguam mesti dilindungi daripada sebarang ugutan dan serangan dalam menjalankan tugas mereka,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Ragunath berkata, pendakwa dan peguam tidak seharusnya menerima tekanan daripada mana-mana pihak kerana ia boleh mengganggu proses kehakiman berhubung sesuatu kes.

“Peguam bela dan peguam cara seharusnya dibenarkan untuk mengemukakan sesuatu kes tanpa rasa takut atau diugut semasa menjalankan tugas mereka.

“Sebarang bentuk gangguan ke atas pendakwa dan peguam ketika menjalankan tugas dianggap sebagai satu penghinaan terhadap maruah mahkamah dan pentadbiran keadilan.

“Kritikan dan perbezaan pendapat adalah tidak salah tetapi ancaman, paksaan, ugutan atau keganasan itu tidak dapat diterima.

”Kami menggesa polis melakukan siasatan segera dan menyeluruh berhubung insiden terbabit dan pesalah harus dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Ragunath berkata, peguam memainkan peranan penting dalam sesuatu kes kliennya untuk mendapatkan keadilan dan mereka haruslah menjalankan tugas dalam keadaan yang selamat dan bebas daripada sebarang bentuk serangan dan ugutan.

“Kami menggesa semua pihak menghormati hak asasi peguam menjalankan tugas tanpa rasa takut dan mampu dilaksanakan sepenuhnya dalam masyarakat demokrasi,” katanya.

Tiada ulasan: