Sabtu, 16 Januari 2010

Lemah kawal penulis blog

Oleh hata wahari


KUALA LUMPUR - Penguatkuasaan yang lemah merupakan punca utama perbuatan memfitnah dan menghasut semakin berleluasa di kalangan penulis blog, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Menurut beliau, penulis-penulis blog dan orang ramai akan terus bermaharajalela melemparkan pelbagai fitnah dan hasutan di alam siber sekiranya penguatkuasaan tidak dilaksanakan,

"Penguatkuasaan adalah perkara paling penting dan sekiranya undang-undang mengenai hasutan, Kanun Acara Jenayah dan pelbagai lagi akta tidak dilaksanakan, perkara ini akan bertambah rumit serta tidak dapat dikawal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sepetang Bersama Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Dengan Pegawai-pegawai Kanan Jabatan Penerangan di sini hari ini.

Rais mengulas keadaan yang tidak terkawal melibatkan pelbagai fitnah dan hasutan jenayah dilakukan oleh penulis blog dan orang ramai di Internet.

Jelasnya, kementerian sendiri telah mengemukakan 18 kes di bawah Perkara 232 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kepada pihak pendakwa tetapi masih belum ada pendakwaan dibuat di mahkamah.

"Untuk menghentikan perbuatan fitnah dan hasutan jenayah, pihak berkuasa yang berkaitan dengan pendakwaan perlu mengheret mereka yang melakukan perbuatan itu ke mahkamah.

"Saya telah menyatakan banyak kali mengenai perkara ini tetapi jika masih tidak dilaksanakan, saya tidak akan menjawab lagi soalan ini kerana ia telah banyak kali ditanya dan diulas. Perkara penting untuk menghentikan fitnah serta hasutan ialah penguatkuasaan," tegasnya.

Rais memberitahu, sekiranya Akta Hasutan tidak dikuatkuasakan kemungkinan ia akan dilupakan atau hanya menjadi bahan rujukan di universiti.

Tiada ulasan: