Khamis, 21 Januari 2010

Kurang 20 lori bawa silika – Ahmad Zahri

UTUSAN ONLINE


JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri Johor menafikan dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad tentang beratus buah lori memasuki Singapura pada setiap hari bagi menghantar pasir silika ke negara jiran itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Ahmad Zahri Jamil berkata, statistik Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor dari 1 Januari hingga semalam menunjukkan hanya 149 lori membawa pasir silika ke Singapura atau kurang daripada 20 lori pada setiap hari.

Sebagai contoh katanya, pada 2 Januari lalu, hanya lima lori yang membawa pasir silika ke Singapura manakala pada 4 dan 5 Januari, masing-masing 14 dan 11 lori.

“Semalam pula hanya lapan lori yang membawa pasir silika ke negara berkenaan. Jadi saya ingin tegaskan di sini bahawa jumlah lori yang membawa pasir silika ke Singapura adalah jauh lebih kecil daripada yang didakwa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri itu di dalam blognya, www.chedet.co.cc yang mempersoalkan sama ada pasir dari Johor yang dihantar ke Singapura setiap hari merupakan pasir biasa atau pasir silika.

Dr. Mahahir berkata, Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor menyatakan 500 buah lori dengan muatan pasir memasuki republik itu setiap hari namun rakan bekas Perdana Menteri itu memberitahu, jumlah sebenar adalah 700 buah lori.

Menurut Dr. Mahathir, Malaysia sepatutnya berhenti daripada menjual pasir itu ke Singapura yang mahu menggunakan pasir silika bagi membuat mikrocip.

Ahmad Zahri berkata, Johor sentiasa mematuhi ketetapan yang dibuat oleh kerajaan Persekutuan pada 30 Ogos 1997 yang mengenakan larangan eksport pasir.

“Kerajaan negeri melalui mesyuaratnya pada 3 Januari 2000 telah bersetuju untuk menguatkuasakan larangan eksport pasir yang dikuatkuasakan kerajaan Persekutuan.

“Pada 24 April 2002, kerajaan negeri juga telah menguatkuasakan larangan eksport bahan batuan (batu pejal) berukuran 9 inci ke atas,” katanya.

Beliau berkata, pasir silika ditakrifkan sebagai pasir yang mengandungi 95 peratus minimum silika seperti yang ditentukan secara analisis standard.

Ahmad Zahri berkata, pada masa ini hanya terdapat sembilan syarikat yang diberi permit untuk mengeksport pasir silika ke Singapura dan mereka dibenarkan mengeksport tidak lebih daripada 50 peratus hasil pengeluaran keseluruhan.

“Sekiranya jumlah eksport sesebuah syarikat itu telah mencapai jumlah maksimum bagi satu bulan, mereka tidak akan dibenarkan mengeksport pasir silika itu lagi dan terpaksa menunggu bulan berikutnya,” katanya.

Tiada ulasan: