Ahad, 24 Januari 2010

Kunak Sesuai Dengan Nama Pekan Kencing?


SETELAH Majlis Daerah Kunak dan Pegawai Daerah Kunak terlibat secara langsung dengan pembinaan replika tiga ekor udang harimau di sebuah bulatan menuju Lebuhraya Kunak-Semporna; Pegawai Daerah ‘Otak Udang’ berkenaan dibidas sekali lagi oleh Ketua Angkatan Muda PKR Kunak, Citra Masadi seraya menjenamakan Kunak sebagai Pekan Kencing.

“Mereka bina tiga tandas awam dan kononnya telah diswastakan. Tapi hanya buka satu minggu sahaja, selepas itu tutup. Orang terpaksa kencing di luar tandas sehingga pekan Kunak berbau hancing oleh kencing,” ujar Citra yang menjelaskan tangga dan lorong belakang bangunan menjadi tempat penduduk kencing disebabkan tandas restoran seringkali ditutup kerana ketiadaan air.


Citra kesal kerana Pegawai Daerah ‘Otak Udang’ berkenaan gagal memastikan Pentadbiran Daerah sekecil ini teratur; sekalipun tandas berkenaan dibina di era Pegawai Daerah sebelum ini, namun Pegawai Daerah baru gagal memastikan tandas awam berkenaan dimanfaatkan sewajarnya kerana hanya asyik bermain golf sekalipun pada waktu kerja dengan menggunakan kenderaan kerajaan.

“Jika isu sekecil tandas ini gagal diselesaikan, bagaimana Pegawai Daerah ini mahu membangunkan Kunak yang semakin tercicir daripada arus perdana pembangunan negara?,” tegas Citra yang menyatakan terlalu banyak projek ‘Gajah Putih’ seperti Projek Pasar Kain yang terbiar begitu sahaja dan kini dibina lagi pasar baru sedangkan pasar lama pun tidak digunakan.

Sehubungan itu, Citra menggesa Kerajaan Negeri Sabah menukar Pegawai Daerah berkenaan yang langsung tidak berkelayakan sebagai ‘Ex-Officio’ untuk membangunkan daerah Kunak yang kaya dengan pelbagai hasil termasuk perladangan, perikanan dan industri hiliran.

“Tiba masanya Kunak mendapat Pegawai Daerah yang baru setelah Pegawai Daerah yang sedia ada tidak lagi berminat untuk berkhidmat di daerah ini kerana jarang berada di pejabat setelah namanya tercemar oleh kes ‘Operator’ Ko-Nelayan di Kunak,” ujar Citra lagi.


Tiada ulasan: