Khamis, 7 Januari 2010

KPN Beri Amaran Tegas Pada Akhbar Cina

SABAH DAILY


Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memberi amaran tegas terhadap segelintir akhbar berbahasa Cina di negara ini supaya menulis sebarang artikel bukan berlandaskan emosi, sebaliknya secara rasional.

Pada masa yang sama, beliau meminta akhbar terbabit agar tidak keterlaluan bermain isu politik dan membuat tafsiran sendiri, khususnya mengenai sesuatu isu yang masih di peringkat siasatan atau pendakwaan.

“Janganlah terlalu berpolitik dan membuat interpretasi sendiri semata-mata untuk mengaut keuntungan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan beberapa akhbar berbahasa Cina yang menyiarkan sebuah artikel mengenai rumusan kisah jenaka yang menyedihkan sepanjang 2009 yang disiarkan dalam ‘Isu-Isu Akhbar Cina’ dalam Utusan Malaysia semalam.

Antara yang dijelaskan penulis artikel itu, Tan Chiang Sie adalah, penutup tahun 2009 menyaksikan polis menyiasat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di bawah Akta Hasutan 1948 kerana membuat kenyataan ketika kes Teoh Beng Hock masih disiasat.

Penulis itu juga mempersoalkan mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa Beng Hock mati akibat membunuh diri.

Selain itu, juga dimuatkan kata-kata yang menyindir Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa kononnya ‘polis masih belum sedar dan belum dapat berfikir dengan waras’. ‘Ini kerana antara saat-saat yang lepas akan berlalu dan masa akan hadir silih berganti’. ‘Mereka masih sibuk menyembur air dan pemedih mata seperti titian perjalanan yang sangat keterlaluan’.

Musa berkata, penulisan sesuatu berita perlulah tidak berpihak kepada mana-mana pihak sebaliknya berlandaskan fakta.

“Kes Beng Hock masih dalam inkues, yang sibuk-sibuk membuat andaian sendiri itu kenapa? Jangan cuba mempengaruhi minda masyarakat dengan membuat spekulasi sendiri. Biar mahkamah yang memutuskan kebenaran.

“Misal kata, kes liwat… seseorang hanya disahkan bersalah sekiranya mahkamah memutuskan. Kalau masing-masing membuat andaian dan keputusan sendiri sebelum proses mahkamah mengambil tempat, tidak adil kepada mangsa dan orang yang dituduh itu,” jelasnya.

Katanya, setiap pihak seharusnya faham bahawa tugas polis adalah menjaga ketenteraman dan keselamatan negara. -malaysia-instinct.com

Tiada ulasan: