Sabtu, 23 Januari 2010

Kontroversi kalimah "Allah":Najib hilang peluang keemasan, Tian Chua

Lim Hong Siang


Presiden UMNO Najib Abdul Razak hilang peluang keemasan untuk menghancurkan Pakatan Rakyat dalam kontroversi penggunaan kalimah "Allah", apabila berlaku kontradiksi dalam dua operasi strateginya untuk mengembalikan sokongan rakyat, kata Tian Chua, ahli parlimen Batu.

Menurut analisa Tian Chua (gambar kiri), Najib berdepan dengan dilema dalam strateginya, yang mana pendekatan yang disyorkan syarikat perhubungan awam adalah untuk mengembalikan undi bukan Melayu; tetapi apabila pendekatan ini gagal selepas lebih daripada enam bulan Najib memerintah, wujud pula pandangan untuk menyasarkan undi Melayu.

Secara terus terang Tian Chua menjangkakan 60% Melayu-Muslim tidak senang dengan pendirian PAS dan PKR untuk memberi laluan agar kalimah "Allah" digunakan oleh bukan Islam atau Kristian. Senario ini membuka ruang keemasan kepada Najib untuk menghancurkan Pakatan Rakyat, yang menyasarkan undi 60% hingga 70% Melayu di Semenanjung kepada UMNO.

Demikianlah analisa Tian Chua, Pengarah Strategi PKR dalam satu ceramah umum berjudul "Di Mana KPI Keadilan, Tuan Najib?", anjuran SELPROA (Persatuan Pegawai-Pegawai Wakil Rakyat Pakatan Rakyat Selangor) di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam.

Gagalnya strategi pertama...

Tian Chua berkata, selepas mengalami kekalahan dalam PRU ke-12, Najib atau UMNO yang merujuk kepada syarikat perhubungan awam, ahli akademik dan sebagainya, akan menemui jawapan "anda hilang undi bukan Melayu dan hampir semua undi golongan muda, kerana rasuah...". Maka, pemimpin UMNO akan dinasihati untuk menyentuh isu yang berkenaan dalam setiap ucapannya, supaya "kelihatan sedar apa yang sedang berlaku".

Namun, Tian Chua mengingatkan bahawa syarikat perhubungan seperti APCO hanya mampu menyediakan ucapan dengan istilah yang bombastik, tanpa melibatkan diri dalam penggubalan dasar parti, yang mana akan diterjemahkan ke dalam pentadbiran negara.

Apabila proses ini tidak disempurnakan, maka strategi untuk memenangi undi bukan Melayu tidak kesampaian. Jurang antara apa yang diucapkan, dengan dasar yang terlaksana menjurus kepada peningkatan sokongan yang amat sedikit di kalangan bukan Melayu, seperti mana yang diperhatikan Tian Chua.

"1Malaysia, tak kiralah bagaimana anda dendangkan, mungkin hanya 5% atau 10% (bukan Melayu) yang mengalih. Dan itu mungkin disebabkan Najib. Tetapi adakah mereka akan menterjemahkan undi mereka untuk menyokong Barisan Nasional? Tidak, kerana apabila anda di PJ Utara, orang yang bertanding bukan Najib. Itu MCA. Dan adakah MCA pertingkatkan prestasinya? Tidak!" jelasnya, sebelum menyimpulkan, "So, BN masih tidak dapat menang!"

Bagaimana pula menyasarkan undi Melayu?

Jadi, "set kedua" dibawa masuk setelah usaha lebih daripada enam bulan itu gagal. Dalam perkiraan pendekatan kedua ini, biarpun 60% hingga 70% bukan Melayu mengundi untuk PR, tetapi jikalau 70% undi Melayu mengalih untuk menyokong UMNO-BN, PR akan ditundukkan.

Maka, pendekatan kedua ini mencadangkan agar "lupakan sahaja 1Malaysia", dan mengambil kesempatan baru ini untuk memberi ruang agar UMNO dapat mengalahkan PR. Dan peluang yang terpampang di depan mata adalah isu penggunaan kalimah "Allah".

Secara objektifnya, menurut jangkaan Tian Chua, 60% Melayu-Islam tidak bersetuju untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada bukan muslim, dan inilah peluang keemasan Najib untuk mengembalikan undi Melayu di Semenanjung.

Walau bagaimanapun, Tian Chua mendakwa bahawa nasib memihak kepada PR apabila Najib tidak berada di negara ketika kontroversi ini memuncak dengan pembakaran gereja. Malah, Tian Chua menjangkakan Najib akan mewujudkan suasana yang lebih tegang sebagai justifikasi untuk menghancurkan PR jikalau beliau sendiri berada di dalam negeri.

Dibantai di golongan liberal

"Apa yang berlaku ialah dia (Najib) kena bantai di setiap stop dia pergi, baikpun di Eropah atau negara-negara Timur Tengah," katanya. Tian Chua mendakwa bahawa Najib merasai sendiri kritikan daripada golongan liberal di luar negara, dan situasi ini mengganggu rancangan yang dijadualkan.

Walau bagaimanapun, Tian Chua menambah bahawa UMNO juga berdepan dengan kesukaran untuk meneruskan modus operandi-nya, kerana keadaan telah berubah. Beliau berkata, sungguhpun rakyat tidak menyenangi pendirian PAS-PKR dalam isu kalimah "Allah", namun tidak sampai tahap mereka pergi berdemonstrasi dan membakar gereja.

Malah beliau berkata, jikalau diuji dengan demonstrasi membantah kenaikan harga gula, beliau yakin bahawa bilangan yang turun ke jalan raya akan melebihi mereka yang berdemonstrasi untuk mempertahankan penggunaan kalimah Allah untuk orang Islam sahaja.

Tiada ulasan: