Selasa, 12 Januari 2010

Khalid cadang orang ramai mendalami maksud 'Allah'

Dzulfikar Mashoor


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menegaskan bahawa bukan isu kalimah Allah yang sepatutnya menjadi perebutan antara orang Islam dan bukan Islam, sebaliknya semua pihak diseru mendalami pengertian sebenar Allah itu sendiri.

"Bukan isunya kalimah (Allah), tapi maksud (sebenar) pada (kalimah) 'Allah' itu sendiri yang berbeza-beza," jelas beliau dalam Forum 'Allah: Siapa Yang Punya?' semalam.

Jelas beliau, Rasulullah s.a.w menggunakan nama Allah dalam surat-suratnya kepada pemerintah bukan Islam di sekitar kerajaan Madinah al-Munawwarah.

"Kalau Nabi melarang orang bukan Islam dari menggunakan nama Allah, mengapa Nabi menulis nama Allah di setiap surat Baginda s.a.w (yang diutuskan) kepada raja-raja bukan Islam," jelasnya.

Mengambil pengajaran dari dakwah Islamiyyah yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w, beliau yang juga Ahli Lajnah Politik PAS Pusat mengajak hadirin yang hadir supaya melihat isu menggunakan nama Allah di kalangan bukan Islam secara mudah.

"Isu ini hanya mudah, kita sembah Tuhan yang sama, Tuhan hanya satu, mana Tuhan ada banyak...(dan) orang Islam wajar menjelaskan bagaimana Allah yang Esa patut disembah," jelasnya.

Beliau turut menyalahkan kepemimpinan Umno kerana dilihat seolah-olah menggunakan media arus perdana untuk memanipulasi isu tersebut, demi meraih sokongan politik di kalangan masyarakat Melayu.

Beliau turut mendakwa tindakan Umno tersebut tidak sejajar dengan tuntutan dakwah sebagaimana dalam ayat 64 dan 65 dari Surah al-Imran.

Ekoran pandangan tersebut, seorang hadirin mendakwa bahawa Khalid tidak memahami realiti kedudukan kaum Melayu di Malaysia.

Menjawab dakwaan tersebut, Khalid berkata, "Saya tak faham Islam ala Melayu."

Forum yang dianjurkan oleh Free Public Forum (FPF) tersebut turut membariskan seorang budayawan Eddin Khoo, Pensyarah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr. Mohd Farid Mohd Shaharan, Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr. Azwira A. Aziz, Filosof ISTAC Dr. Khalif Muammar, Pakar Dakwah Perbandingan Agama Shah Kirit Kakulal Govinji serta wartawan bebas Hasmi Hashim selaku panelis.

Forum yang bertempat di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) tersebut dihadiri lebih 1000 hadirin dari pelbagai bangsa dan ideologi.

Tiada ulasan: