Khamis, 14 Januari 2010

Kerajaan salah biarkan kebanjiran warga asing - Perkasa

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Tindakan kerajaan yang terlalu mementingkan peningkatan jumlah pelancong sehingga mengabaikan penguatkuasaan undang-undang didakwa antara punca berlakunya kebanjiran pekerja asing tanpa permit.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali (gambar) berkata, sehubungan itu kerajaan mesti mengkaji semula pengeluaran visa sewaktu ketibaan (VOA) kerana ia sering disalahgunakan oleh pelancong.

Menurut beliau, negara tidak wajar berbangga dengan peningkatan pelancong tetapi pada masa sama beban jenayah yang berpunca daripada golongan itu terus meningkat dan terpaksa ditanggung oleh kerajaan.

"Kebanjiran rakyat India, China dan Afrika yang menyalahgunakan VOA sehingga mencecah puluhan ribu dan menimbulkan banyak masalah sosial dan jenayah berpunca daripada kelemahan kerajaan sendiri.

"Walaupun atas nama pelancongan kita sebenarnya tidak boleh berkompromi dalam soal kemasukan orang luar sewenang-wenangnya.

"Ini kerja gila. Negara lain tidak semudah Malaysia," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri mengenai 39,046 warganegara India yang 'hilang' di Malaysia selepas visa pelancongan mereka tamat tempoh dan perkara itu merupakan isu yang membimbangkan negara.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, mereka tidak dapat dikesan daripada rekod Jabatan Imigresen seperti anggaran yang dibuat pada Jun lalu.

Tiada ulasan: