Isnin, 18 Januari 2010

Kerajaan Negeri tetap tuntut hak royalti minyak

SINAR HARIAN ONLINE


KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Kerajaan Negeri tetap akan menuntut hak royalti minyak walaupun Pengerusi Perhubungan Barisan Nasional (BN) Negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Kerajaan Pusat tidak akan melayan sebarang tuntutan royalti minyak yang dikatakan wujud di kawasan sempadan Terengganu dan Kelantan.

Beliau berkata, Kerajaan Kelantan telah mengemukakan tuntutan royalti minyak yang baru di mana Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa ada berkata, sebuah pelantar, dikenali sebagai pelantar Bintang yang telah beroperasi sejak 1984.

“Ia terletak bersempadan antara Kelantan dan Terengganu di mana semenjak itu jumlah royalti diperoleh oleh Kerajaan Pusat ialah RM9.7 bilion.

“Itu hak Datuk Pa dan dia tiada hak untuk menentukan rezeki orang. Minyak di Kelantan ini hak orang Kelantan, sama ada terkandung dalam undang-undang atau tidak, ia tetap hak Kelantan, seperti mana balak, logam, batu-bata dan sebagainya yang ada dalam perit muka bumi negeri ini, maka ia adalah hak Kelantan,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyampaian Zakat dan Bantuan Pakaian Sekolah kepada pesakit-pesakit kusta anjuran MALRA di sini, semalam.

Sementara itu, pada majlis tersebut, Nik Aziz menyampaikan sumbangan kepada 50 penerima di mana setiap seorang mendapat RM400 lebih tinggi nilainya berbanding tahun sebelumnya iaitu RM300.

Tiada ulasan: