Khamis, 7 Januari 2010

Kelab Penyokong PAS jadi dewan Ahad ini

Oleh G. Manimaran


PAS akan memberi perakuan akhir Ahad ini untuk menaikkan taraf Kelab Penyokong PAS menjadi Dewan Himpunan Penyokong PAS — sayap baru tetapi masih dengan hak terhad.Ia dijangka dilancarkan akhir bulan depan.Pemimpin Kelab Penyokong PAS menerima perubahan ini walaupun menyedari mereka tiada kuasa atau hak secara langsung untuk bertanding ataupun memilih barisan kepimpinan tertinggi parti itu.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS pusat Dr Mujahid Yusuf Rawa memberitahu jawatankuasa pusat akan memberi perakuan muktamadnya Ahad ini.

Beliau telah memberikan taklimat terakhir mengenai draf perlembagaan dewan itu kepada pemimpin-pemimpin Kelab Penyokong PAS di ibu negara kelmarin.

"Semua proses sudah dilaksanakan, saya fikir syor menaikkan taraf kelab menjadi dewan akan diterima oleh jawatankuasa pusat parti.

"Saya tidak fikir akan ada sebarang perubahan besar melainkan pindaan kecil-kecilan di sana di sini," katanya.

Jelas beliau, kelab itu secara automatik akan menjadi dewan sebaik sahaja draf perlembagaannya diperakui Ahad ini.

"Selepas ia diperakui, ia cuma akan melibatkan soal pentadbiran antaranya majlis pelancaran dan sebagainya," katanya.

Langkah ini dilihat sebahagian usaha susulan PAS untuk menarik sokongan penyokong bukan Islam walaupun kuasanya masih dilihat terhad.

Mujahid berkata PAS pusat telah meluluskan perlembagaan khusus bagi sayap baru itu selepas mengadakan beberapa kali perbincangan.

Usaha naik taraf itu dibolehkan dengan mengadakan perlembagaan tersendiri tanpa melibatkan pindaan pada perlembagaan induk PAS.

Parti itu mewujudkan jawatankuasa atau dewan baru tanpa melibatkan pindaan pada perlembagaan induk PAS.

"Ini langkah awal untuk mengiktiraf penyokong-penyokong bukan Islam dalam PAS. Malah ini juga langkah susulan mengiktiraf selepas Kelab Penyokong PAS diwujudkan," katanya.

Draf perlembagaan Dewan Himpunan Penyokong PAS telah tiga kali dibincangkan di peringkat jawatankuasa pusat PAS dan telah diterima untuk diguna pakai.

Kelab Penyokong PAS terdiri daripada lebih 20,000 ahli daripada kaum India, Cina, Siam dan Iban. Ia ditubuhkan pada tahun 2004.

Dewan itu akan diketuai oleh seorang ketua dengan dibantu oleh timbalan ketua, lima naib ketua, setiausaha, penolong setiausaha, bendahari dan 18 anggota jawatankuasa. Ia juga akan mempunyai biro pemuda dan wanita.

Pengerusi Kelab Penyokong PAS kebangsaan Hu Pang Chaw ketika dihubungi The Malaysian Insider mengakui pihaknya menyedari buat masa sekarang mereka tidak ada kuasa untuk mengundi dalam muktamar peringkat pusat dan negeri.

"Sekurang-kurangnya sekarang kami ada sayap yang lebih formal di mana peranan dan fungsi sayap boleh dijalankan dengan teratur berbanding dulu," katanya.

Menurut beliau apa yang penting PAS sudah mula melihat keperluan realiti untuk membolehkan bukan Islam memainkan peranan lebih aktif bagi menggerakkan sokongan.

"Perubahan ini adalah langkah awal... ini juga satu sejarah kerana buat pertama kali di dunia, sebuah pertubuhan Islam menerima bukan Islam dengan menyediakan sayap khas untuk mereka," katanya.

Pengerusi Kelab Penyokong PAS Kaum India N. Balasubramaniam berkata pihaknya tidak kisah dengan ketiadaan kuasa mengundi secara langsung memilih pucuk kepimpinan PAS.

"Tetapi ini langkah awal pengiktirafan... lagi pun kami menyedari bahawa perubahan harus dilakukan secara berperingkat-peringkat dengan memastikan ahli akar umbi dalam PAS sendiri menerima perubahan ini.

"Kita hanya akan memikirkan perubahan besar termasuk kuasa mengundi secara langsung kemudian hari," kata beliau yang yakin bahawa langkah ini akan menambah keahlian bukan Islam.

"Kami akan menyerahkan keahlian sebanyak 18,000 orang kepada pucuk kepimpinan PAS bulan depan, tambahan kepada 22,000 yang ada sekarang," katanya.

Perubahan ini akan membolehkan ahli bukan Islam menghadiri muktamar tahunan PAS dan mengambil bahagian dalam perbahasan, kata beliau.

Hu juga berkata sebaik diterima sebagai dewan mereka juga akan dipanggil menghadiri mesyuarat jawatankuasa pusat PAS.

Dewan Himpunan Penyokong PAS juga akan ditubuhkan di peringkat pusat, negeri dan kawasan.

Tetapi tiada Dewan Himpunan Penyokong PAS peringkat cawangan.

Jawatankuasa teknikal ke arah menaik taraf Kelab Penyokong PAS sebagai dewan atau sayap formal bagi mengiktiraf keanggotaan masyarakat bukan Islam dalam parti itu telah ditubuhkan awal tahun lalu.M/I

Tiada ulasan: