Rabu, 20 Januari 2010

Kalimah Allah: Nasharudin ulangi pendirian PAS

Dzulfikar Mashoor


KUALA LUMPUR: PAS mengulangi ketetapan supaya penggunaan kalimah Allah tidak dipolitikkan dan disalah guna oleh mana-mana pihak.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa mengulangi pendirian tersebut dalam suatu muzakarah di kediaman Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi.

Beliau berkata, pendirian PAS berhubung perkara itu juga tidak wajar dipolimikkan kerana keputusan dibuat setelah meneliti dengan cermat perkara tersebut.

“Selepas kita (PAS) mengadakan musyawarah Lajnah Politik untuk membuat ketetapan...kita (PAS)membuat penegasan bahawa kita tidak mahu kesempatan ini (pendirian PAS) dipolimikkan oleh pihak tertentu,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok mengaku, polimik yang dicipta oleh pihak tertentu ini akhirnya mengakibatkan berlakunya perselisihan faham antara PAS dan Pakatan Rakyat.

“Andaian kita (PAS) itu tepat apabila ia (isu kalimah Allah) dijadikan ‘kesempatan politik’ yang terus dipolemikkan berminggu-minggu oleh pihak tertentu...hingga wujud pertentangan di antara kita (Pakatan Rakyat) sendiri.”

Ujarnya, media arus perdana dilihat seolah-olah memainkan peranan yang penting untuk mempertajam isu kalimah ‘Allah’ demi memecahkan muafakat Pakatan Rakyat.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub yang bercakap kemudiannya, meminta semua kepemimpinan Pakatan Rakyat supaya berusaha mencari titik persamaan dengan penganut agama-agama yang lain melalui wacana ilmiah.

Beliau turut mencadangkan Pakatan Rakyat menjadikan nilai keadilan, integriti, kebebasan, ketelusan dan demokrasi sebagai titik persamaan untuk mengajak semua penganut agama berwacana.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menjelaskan bahawa melalui wacana ilmiah, secara tidak langsung mengajak masyarakat bukan Islam melihat keadilan dan keindahan ajaran Islam itu sendiri.

Sebelum pada itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru kepemimpinan Pakatan Rakyat, cendekiawan Islam, ahli akademik, para pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam serta hadirin yang hadir supaya kembali fokus menentang kezaliman yang lebih besar, yang dilakukan kerajaan pimpinan Umno.

“Padahal masalah yang besarnya pengemudi (kerajaan) tidak nampak...soal kezaliman, khianat, bunuh, rasuah, penyalahgunaan kuasa mahkamah tidak bebas, dipadamkan,” jelasnya.

Pun begitu, beliau yang juga Ketua Umum PKR menyeru semua pihak supaya tidak mempolimikkan lagi isu kalimah ‘Allah’.

“Sebab itu, sama ada kita setuju atau tidak, baik tidak dipertajamkan,” jelasnya.

Selain penyertaan beberapa kepemimpinan PAS Pusat, muzakarah tersebut menyaksikan beberapa cendekiawan Islam seperti Profesor Emeritus Dr. Osman Bakar, Prof. Dr. M. Kamal Hassan, Azmi Abdul Hamid dan Datuk Dr. Ismail Ibrahim masing-masing turut memberikan pandangan masing-masing berhubung isu kalimah ‘Allah’ tersebut.

Tiada ulasan: