Isnin, 18 Januari 2010

Jangan Sentuh Tanah Adat Tanpa Restu Penduduk

SABAH DAILY

PENGERUSI Yayasan Warisan Borneo (BHF), Datuk Dr Jeffrey Kitingan meminta Pengarah Jabatan Tanah Negeri Sabah, Datuk Osman Jamal menjelaskan rasional kelulusan menukarkan status tanah adat rizab perkampungan di Kg Sandapak seluas lebih tiga ekar kepada status CL untuk pembinaan sebuah Masjid baru yang kini mendapat bantahan keras daripada penduduk-penduduk di situ.

Katanya lagi, beliau kesal kerana pemberian kelulusan penukaran status itu tidak melalui proses yang betul, yang sepatutnya turut melibatkan pemimpin masyarakat setempat di situ terutamanya Ketua Kampung selaku ahli jawatankuasa pemegang amanah tanah adat.


Jeffrey seterusnya berkata, pihak Pengarah Tanah mempunyai kuasa tinggi untuk menarik balik kelulusan penukaran status tanah untuk kembali kepada asalnya jika mendapati proses yang telah dijalankan tidak menuruti kehendak Ordinan Tanah, lebih- lebih lagi ia melibatkan tanah adat rezab perkampongan yang masih dituntut penduduk.“Mereka tidak boleh sesuka hati mengelakkan pemimpin masyarakat kampung itu dari mengetahui rancangan kerajaan di situ. Apatah lagi jika ia melibatkan tanah rezab perkampungan. Anehnya lagi wakil rakyat dan Ketua Kampung di situ juga langsung tidak dilibatkan dalam perbincangan sebelum kelulusan,” kata beliau dalam satu kenyataan kepada media.

“Dalam peraturan tanah hanya beberapa kategori sebagai kemestian untuk pengambilan tanah seperti sekolah, Balai Polis, Hospital, dan Balai Bomba, tetapi dalam kes ini pembinaan Masjid baru bukanlah suatu kemestian kerana sebelum ini pun sudah ada satu Masjid telah dibina yang jaraknya kira kira 80 meter dari kawasan itu,” tegas beliau.

Menurut Jeffrey, rancangan pengambilan tanah tersebut termasuk penukaran statusnya kepada CL bermula sekitar tahun 2002, dimana perbincangan itu hanya disertai segelintir pemimpin masyarakat dan pegawai termasuk Ketua Daerah pada ketika itu.

Manakala para penduduk kampung di situ tambah beliau, hanya menyedari bahawa tanah rezab itu sudah bukan hak milik mereka lagi apabila kontraktor pembinaan kelihatan sibuk melaksanakan projek pembinaan Masjid baru di situ.

Datuk Dr Jeffrey yang juga bekas Adun Bingkor, meminta pihak kerajaan memandang serius perkara tersebut di mana selain dari segi hak tanah adat tetapi juga soal kebajikan penempatan masyarakat di situ secara jangka panjang yang kini semakin padat dan mengalami masalah kekurangan tanah sebagai penempatan mereka kelak.

Kampung Sandapak yang telah diwartakan sebagai tanah rezab perkampungan ketika era kerajaan penjajah British, kini mempunyai penduduk lebih kurang 400 keluarga di mana mengikut bancian terkini JKKK di situ kira-kira 120 keluarga daripada mereka tidak bertanah untuk membina rumah.

Difahamkan projek pembinaan sebuah Masjid baru yang menelan belanja kira-kira RM0.5 juta itu kini sedang berjalan meskipun terdapat bantahan dari penduduk penduduk di situ terus berjalan setiap hari.

Tiada ulasan: