Isnin, 11 Januari 2010

Janda Akhil Hayy temui bakal suami 12 tahun lebih muda

UTUSAN ONLINE


PETALING JAYA - Selepas enam bulan menjanda, Maizawati Zainal yang merupakan bekas isteri penyanyi rock, Akhil Hayy telah pun bertemu calon suami terbarunya dan akan mendirikan rumahtangga Mei ini.

Ibu kepada enam anak berusia 34 tahun itu menjelaskan, dia tidak menyangka akan bertemu jodoh dalam waktu terdekat ini, apatah lagi calon suaminya itu juga 12 tahun lebih muda daripadanya.

Bagaimanapun menurut Maizawati, buat masa ini dia belum bersedia mendedahkan sepenuhnya identiti bakal suaminya itu yang berasal dari Likas, Sabah dan bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di Singapura.

"Seperti yang pernah saya janjikan dulu, kalau bertemu jodoh baru saya akan beritahu. Saya tidak mahu sorok soal jodoh. Sejak bercerai ada juga yang datang melamar tetapi hati saya terbuka dengan calon suami saya ini.

"Buat masa ini biarlah saya hanya sebut namanya sebagai 'M' sahaja. Saya mahu berlaku adil kepada semua wartawan. Apabila tiba masanya nanti saya akan umumkan identiti bakal suami saya itu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Maizawati yang ditemui selepas menjadi tetamu dalam rancangan Nasi Lemak Kopi O terbitan TV9 di Bandar Utama di sini berkata, dia memilih 'M' selepas mendapati ciri-ciri calon suaminya saling tidak tumpah seperti Akhil Hayy.

Malah, beliau turut menyifatkan kehadiran 'M' dalam hidupnya bukan setakat disenangi oleh anak-anaknya tetapi juga sebagai 'pengganti' Akhil Hayy yang telah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Waheeda tahun lalu.

"Ciri-ciri yang ada pada diri 'M' ada persamaannya dengan Akhil Hayy sewaktu muda. Dia ('M') contohnya, pandai bercakap, kelakar dan matang biarpun baru berusia 22 tahun. Keluarga kedua belah pihak juga merestui hubungan kami.

"Saya tidak memilih jodoh, sebaliknya ia datang daripada Allah. Pada mulanya 'M' tidak tahu saya janda Akhil kerana dia bekerja di Singapura. Selepas bercakap di telefon tentang status saya, dia faham dan sanggup menerima saya," jelasnya.

"Selepas pertemuan di sebuah restoran, kami mula berhubungan melalui telefon dan chatting (berbual di Internet) dan pada Disember lalu 'M' telah melamar saya," ujarnya yang berkahwin dengan Akhil dan rumahtangga mereka bertahan selama kira-kira 13 tahun.

Tambah Maizawati yang bakal mendirikan rumahtangganya buat kali ketiga itu, beliau merancang bergabung tenaga bersama 'M' menjalankan syarikat Maizawati Collection yang diusahakannya sejak tahun lalu.

Perniagaan berkaitan bahan-bahan pemakanan homeopati dan fesyen busana Muslim yang diusahakannya itu merupakan salah satu usahasama yang akan dilakukan selepas mendirikan rumahtangga kelak.

"Intel-X yang merupakan produk homeopati antara produk keluaran syarikat saya selain madu herba juga akan berada di pasaran tidak lama lagi. Saya dan bakal suami akan mengusahakan perniagaan itu bersama.

"Empat anak saya iaitu Deanna Sofiah, 17; Daniel Arif, 16; Mohd. Shakir, 9, dan Mohd. Shatiri, 3, akan tinggal bersama-sama kami. Sementara dua lagi anak saya iaitu Maisarah, 13, dan Mohd. Sharif, 12 akan tinggal bersama Akhil," jelasnya.

Tiada ulasan: