Sabtu, 16 Januari 2010

Hishammuddin diminta jelaskan tangguh bahagi polis Klang

Harakahdaily


KLANG: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mesti menjelaskan berhubung penangguhan projek pembahagian ibu pejabat polis daerah Klang yang sepatutnya dilaksanakan awal tahun ini.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mempersoalkan penangguhan itu sama ada menteri berkenaan ingin sabotaj dan menganaktirikan Klang dengan mengabaikan rakyat hidup dalam satu perkitaran yang selamat dan selesa.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar baru-baru ini bahawa projek pembahagian ibu pejabat polis daerah Klang kepada Klang utara dan Klang selatan yang sepatutnya dilaksanakan pada awal tahun ini telah ditangguhkan kerana kesuntukan kewangan.

Baginya, kenyataan Khalid itu memang memeranjatkan kerana sejak tahun 2008, pihak polis telah memberitahu rakyat Klang bahawa projek itu akan dilaksanakan dan bilangan anggota polis akan ditambahkan untuk membanteras jenayah di kawasan Klang.

Katanya, jika projek itu telah dirancangkan dan satu tarikh tamat telah ditetapkan, ia mesti telah diperuntukkan kewangan yang mencukupi.

Tambahnya, pengumuman Khalid itu membangkitkan persoalan, di manakah peruntukan kewangan bagi projek ini, adakah peruntukan ini ditarik balik daripada kawasan pakatan rakyat, ataupun disalurkan kepada projek lain.

“Mana satu projek lebih penting daripada memperuntukkan sumber untuk menjaga keselamatan rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Menurutnya, alasan kesuntukan kewangan amat tidak masuk akal kerana kerajaan Pusat telah memperuntukkan pakej rangsangan ekonomi sebanyak RM67 bilion, jadi mengapa projek pembangunan di dalam senarai boleh hilang selepas aliran masuk sumber kewangan lagi banyak daripada pakej rangsangan ekonomi.

Katanya, langkah itu satu set back kepada petunjuk Prestasi Utama Nasional (NKPI) Perdana Menteri iaitu mengurangkan jenayah indeks dengan memberi tumpuan kepada jenayah jalanan dengan sasaran pengurangan sebanyak 20 peratus menjelang penhujung tahun 2010.

Beliau berkata, dalam jawapan parlimen November 2009, Kementerian Dalam Negeri mengaku Klang telah dikenalpasti sebagai salah satu kawasan yang kerap berlakunya jenayah atau hotspot di Selangor.

Kementerian juga berkata, ia telah melaksanakan strategi menempatkan lebih ramai anggota polis untuk menjalankan tugas-tugas rondaan termasuklah anggota polis pasukan gerakan am khususnya di Selangor dan Kuala Lumpur.

Usaha juga sedang dilaksanakan untuk memasang 16 unit kamera litar tertutup (CCTV) baru di kawasan parlimen Klang berdasarkan lokasi yang dikenalpasti oleh PDRM.

Katanya, dengan menempatkan lebih ramai anggota polis untuk rondaan dan memantau CCTV, kementerian memang perlu meningkatkan infrastruktur bagi pasukan polis kawasan Klang, projek pembahagian ibu pejabat polis Klang kepada dua harus dilaksanakan.

“Saya menyaran agar Menteri Dalam Negeri mengkaji semula keputusan ini dan memastikan projek pembangunan ini dilaksanakan dalam tahun ini.

“Saya juga menggesa Kementerian Dalam Negeri menstruktur semula dan membawa modenisasi kepada PDRM dengan mengurangkan anggota polis dalam unit FRU, cawangan khas dan pengurusan, memindahkan anggota-anggota ini ke jabatan siasatan jenayah, ujarnya.

Ini, katanya bermaksud Kementerian Dalam Negeri mesti memastikan PDRM berkhidmat kepada rakyat dan bukan berkhidmat kepada tujuan politik.

Tiada ulasan: