Selasa, 19 Januari 2010

Hina OKU: Pesuruhjaya SPRM didesak letak jawatan

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin bagi pertubuhan orang kurang upaya (OKU) melancarkan demonstrasi aman menuntut Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kasim Mohamed supaya meletakkan jawatan.

Desakan tersebut ekoran peguam yang mewakili SPRM, Datuk Abdul Razak Musa telah menghina peguam OKU yang mewakili mendiang Teoh Beng Hock, Karpal Singh di kamar perbicaraan minggu lalu.

"Dia (Abu Kassim) perlu letak jawatan, dia tidak layak memimpin SPRM. (Abdul) Razak perlu diambil tindakan kerana menghina seorang OKU.

"Penghinaan dia (Abdul Razak) ‘saya boleh duduk, tetapi kamu (Karpal) tidak boleh bangun’ ini suatu penghinaan kepada seluruh OKU di Malaysia," kata Setiausaha Badan Latihan dan Hidup Berdikari (ILTC), Gurdip Kaur @ Rina pagi tadi.

Bercakap di depan Rumah Persekutuan yang menempatkan pejabat SPRM, beliau menganggap Abu Kasim dan Abdul Razak sendiri tidak menghormati hak asasi seluruh OKU di Malaysia.

"Sebagai penjawat kerajaan, sepatutnya beliau boleh menerima kunjungan kami. Kami sudah hantar surat (janji temu), tetapi mereka langsung tidak layan, seolah-olah tidak hormati hak kami" jelasnya.

Beliau turut berdoa supaya Tuhan membalas penghinaan terbabit.

"Suatu hari nanti, saya berdoa kepada Tuhan supaya mereka berdua (Abu Kassim dan Abdul Razak) duduk di atas kerusi ini kerana mereka tak tahu menghormati sensitiviti kami semua," katanya.

Turut mempertikai tindakan menghina oleh Abdul Razak dan Abu Kassim adalah Presiden Persatuan Terapi Bantuan Haiwan Untuk Warga Kurang Upaya dan Warga Emas, Malaysia (Perpositive).

"Mengapa begitu susah (Pengarah SPRM) turun (bertemu kami) di sini, mereka bukannya OKU.

"Dia (Abdul Razak) dan Abu Kassim begitu mudah menghina OKU di dalam mahkamah, mengapa begitu susah bersemuka dengan kami memohon maaf," katanya.

Beliau turut menuntut suatu tindakan disiplin dikenakan ke atas Abdul Razak.

Manakala, SPRM pula diminta memohon maaf secara terbuka kepada seluruh OKU serta berjanji tidak mengulangi diskriminasi tersebut.

Penasihat undang-Undang dan bagi badan Rakyat Anti-Diskriminasi ke atas OKU Malaysia (MADD), N. Surendran yang ditemui kemudian mengutuk layanan SPRM ke atas beberapa tuntutan para pemimpin OKU terbabit.

Sebelum pada itu, lebih sejam para pemimpin tersebut terpaksa melaung 'SPRM perlu minta maaf' dan 'jangan hina kami' sambil mengangkat beberapa kad protes.

Bagaimanapun, Pengarah SPRM, Hajah Azni Hamzah yang pada awalnya dilaporkan enggan melayan para pemimpin terbabit, akhirnya terpaksa menurut kehendak mereka.

Tiada ulasan: