Khamis, 7 Januari 2010

Hanya akur arahan Pemangku Raja

UTUSAN ONLINE


KOTA BHARU – Kerajaan Pas Kelantan hanya melaksanakan arahan yang dititahkan oleh Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra disebabkan ketiadaan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra yang kini menjalani rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, tindakan itu berdasarkan peruntukan Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan yang secara jelas memberikan kuasa kepada Pemangku Raja untuk menjalankan tugas sebagai pemerintah.

Beliau berkata, disebabkan itu, kerajaan negeri sebenarnya tidak berasa tersepit dan hanya melaksanakan tugas mengikut peruntukan undang-undang tubuh kerajaan negeri.

“Ini pendapat peribadi dan tidak mewakili kerajaan negeri, saya hanya bercakap bersandarkan pada takrifan perlembagaan.

“Saya bersandarkan pada Perkara 4 Fasal 1 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan dan kerajaan negeri mengikut peruntukan ini.

“Perlembagaan telah menetapkan buat masa ini semua urusan termasuk pentadbiran harus dilakukan atas nama ‘Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM),’” katanya di sini hari ini.

Perkara 4 Fasal 1 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan menyatakan: ‘KDYMM bermakna sultan bagi negeri dan termasuk Waris gantinya dan jika kebetulan dengan maknanya, ia termasuk Al-Marhum Raja-Raja yang memerintah terdahulu daripadanya dan jika ada Pangkuan Raja, termasuk Pemangku Raja dan jika ada Majlis Pangkuan Raja termasuk majlis itu.’

Takiyuddin yang juga pengamal undang-undang berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia mengenai kemelut Istana Kelantan semakin serius sehingga menyebabkan kerajaan negeri tersepit.

Masalah ini bermula apabila Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra yang menghidap serangan jantung berangkat menerima rawatan susulan di Singapura Mei tahun lalu dan putera sulung baginda, Tengku Muhammad Faris Petra dilantik sebagai pemangku raja.

Tengku Muhammad Faris kemudiannya mengambil beberapa tindakan termasuk melakukan rombakan dan pengguguran keahlian anggota Majlis Perajaan Negeri yang turut melibatkan kedudukan adinda baginda, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry.

Sementara itu, usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu tersebut daripada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat gagal kerana beliau dikatakan mengambil cuti sakit kerana demam.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob ketika ditemui pada majlis yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) enggan mengulas mengenai dakwaan pemimpin negeri tidak menghadap Sultan Kelantan walaupun dititahkan.

Takiyuddin berkata, kesemua barisan Exco termasuk Menteri Besar serta timbalannya telah menziarahi baginda di Singapura selepas dirawat di hospital berkenaan.

“Mengenai titah kepada Menteri Besar dan timbalannya supaya menghadap baginda, saya tidak tahu tetapi kami semua telah menziarahi baginda, saya sendiri ke Singapura sebanyak dua kali sebelum ini,” katanya.

Tiada ulasan: