Sabtu, 2 Januari 2010

Guan Eng cabar Ibrahim dedah pengugut

BERITA HARIAN ONLINE


GEORGETOWN: Ketua Menteri, Lim Guan Eng, mencabar Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya, supaya mendedahkan identiti individu yang mendakwa kakitangan pejabatnya yang melakukan ugutan melalui blog.

Beliau yang melahirkan rasa terkejut dengan perkara itu, menyatakan Ibrahim perlu bertanggungjawab terhadap apa juga yang disiarkan di dalam blognya.

Sambil menegaskan tindakan akan diambil terhadap mana-mana pegawainya yang melakukan perbuatan sedemikian, beliau berkata, bagaimanapun tiada kakitangannya yang mengenali Ibrahim.

“Ibrahim kena tampil dan menyatakan identiti individu berkenaan serta bertanggungjawab. Kita nak tahu adakah dakwaan itu benar atau semata-mata rekaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan sambutan Hari Bandaraya Georgetown Ke-53 di Dewan Bandaran di sini, semalam.

Selasa lalu, kerajaan Pulau Pinang membuat laporan polis terhadap Ibrahim kerana didakwa menerbitkan artikel berunsur jahat dan fitnah serta berniat memburukkan imej kerajaan negeri dalam laman blognya.

Laporan itu merujuk kepada artikel bertajuk ‘Ada Orang Nak Penjarakan Saya’ disiarkan di laman blog http://duniatiger.blogspot.com mulai 26 Disember lalu, mengenai ugutan terhadap Ibrahim daripada seorang pembaca yang mengaku bekerja di Pejabat Ketua Menteri.

Bagaimanapun, Ibrahim menafikan beliau berniat untuk memfitnah sesiapa melalui tulisan dalam laman blognya itu,

Ibrahim berkata, apa yang disiarkan dalam blognya berhubung artikel itu, diambil daripada komen seorang pembaca terhadap tulisan dalam blog beliau sebelum itu.

Tiada ulasan: