Ahad, 10 Januari 2010

Gereja Dan Pos Pengawal Sekolah Taiping Dilempar Molotov Cocktail

BERNAMA


IPOH: Dua insiden cubaan membakar berlaku membabitkan gereja All Saints dan sebuah sekolah di sini awal hari ini selepas dilempar dengan bom api, kata Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah.

Tiada kerosakan pada gereja yang terletak di Jalan Taming Sari, Taiping itu tetapi hanya kerosakan kecil dilaporkan pada pos pengawal Sekolah Menengah Convent, katanya.

Insiden itu hanya disedari penjaga gereja itu pada pukul 7.30 pagi, katanya ketika dihubungi hari ini.

Polis yang membuat siasatan selepas menerima aduan mendapati dua kesan tompok hitam di dinding gereja serta menemui dua botol yang telah pecah dipercayai digunakan dalam kejadian itu, katanya.

Dalam kejadian di Sekolah Menengah Convent, hanya pos pengawal sekolah tersebut mengalami kerosakan kecil selepas dilempar dengan molotov cocktail dalam kejadian pada pukul 3.30 pagi dan disedari oleh pengawal keselamatan sekolah terbabit, katanya.

Zulkifli berkata, setakat ini belum ada suspek yang ditahan berikutan insiden itu dan polis sedang menyiasat serta mengambil bahanbahan bukti yang ditemui di tempat kejadian.

Katanya siasaatan awal polis mendapati kejadian itu dipercayai dilakukan oleh individu yang nakal dan tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan daripada isu yang sedang berlaku sekarang dan bukan dirancang oleh mana-mana organisasi.

Katanya polis memberi perhatian serius dan meningkatkan pemantauan ke atas rumahrumah ibadat di negeri ini bagi memastikan keadaan terkawal dan menasihatkan orang ramai agar tidak panik.

Tiada ulasan: