Isnin, 18 Januari 2010

Gempa: Malaysia tidak terkecuali

KUALA LUMPUR – Kedudukan geografi Malaysia yang terletak di luar kawasan Lingkaran Api Pasifik bukan bermakna negara tidak akan menerima kesan gempa bumi.

Ketua Pusat Penyelidikan Alam Sekitar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Ku Halim Ku Hamid berkata, sebelum ini ada beberapa kes negara yang tidak berada di dalam lingkaran berkenaan menerima kesan gempa bumi.

Jelasnya, kesan gempa bumi boleh berlaku dalam pelbagai bentuk seperti tsunami atau gegaran muka bumi.

“Contohnya semasa tsunami pada 2004, negara yang berada di sekitar Lautan Hindi menerima kesan tersebut yang meragut ribuan nyawa termasuk di Malaysia,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian gempa bumi yang melanda Haiti Rabu lepas berukuran tujuh pada skala Richter yang meragut ribuan nyawa.

Jelas Ku Halim, gempa bumi yang berlaku di Sumatera tahun lepas dan dirasai di beberapa lokasi di Malaysia merupakan contoh yang menunjukkan negara turut menerima kesan gegaran gempa bumi.

Bagaimanapun katanya, gegaran yang dirasai bergantung kepada kekuatan gempa bumi dan bukan semua gegaran menjadi ancaman.

Menurutnya, perkara itu perlu diambil serius dan kerajaan seharusnya mempelajari daripada negara-negara yang pernah mengalami gempa bumi tentang cara menghadapinya.

“Di Jepun rakyatnya boleh menerima isyarat gempa bumi melalui telefon bimbit, malah sudah terlatih untuk menghadapinya,’’ tambahnya lagi.

Sementara itu Pensyarah Jabatan Geologi Universiti Malaya (UM), Dr. Che Noorliza Lat berkata, Malaysia pernah mencatatkan beberapa kesan gegaran gempa bumi walaupun tidak begitu kuat.

“Dari segi geografi, Malaysia memang tidak berada di dalam kawasan aktif aktiviti sebegini, tetapi kesannya tidak dapat dielakkan,’’ katanya.

Jelasnya, kawasan Pantai Barat Semenanjung yang berhampiran dengan Sumatera pernah menerima kesan gegarannya tahun lepas yang berukuran 7.9 pada skala Richter.

“Oleh itu struktur bangunan yang ingin dibina harus menitikberatkan soal ini,’’ ujarnya.

Beliau memberitahu, beberapa institusi pengajian tinggi tempatan sudah mula melakukan kajian berhubung gempa bumi dan kesan gegarannya.

Tiada ulasan: