Selasa, 5 Januari 2010

Gaji Pekerja Asing Dalam Perkhidmatan Barisan Hadapan Satu Kesalahan

BERNAMA

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Imigresen Datuk Abdul Rahman Othman mengingatkan majikan bahawa menempatkan pekerja asing dalam perkhidmatan barisan hadapan merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan.

Beliau berkata perkara itu merupakan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, malah jabatan itu tidak pernah meluluskan sebarang permintaan untuk menggunakan pekerja asing dalam perkhidmatan barisan hadapan, kecuali untuk perkhidmatan keselamatan.

Sehubungan itu, katanya jabatan itu akan mendidik majikan mengenai penempatan pekerja asing dalam sektor perkhidmatan yang ditetapkan.

Proses pendidikan termasuk menyediakan risalah mengenai penempatan pekerja asing, mengadakan dialog dengan majikan dan mengadakan perjumpaan dengan mana-mana persatuan yang berkaitan, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata jabatan itu mensasarkan tempoh sebulan untuk memberikan pendidikan dan maklumat itu dan selepas itu, tindakan akan diambil terhadap mana-mana majikan yang masih berdegil.

Selain itu, Abdul Rahman berkata jabatan itu mengesan terdapat majikan yang cuba meraih keuntungan dengan mengelakkan levi yang lebih tinggi dengan menggajikan pekerja asing di sektor lain daripada permohonan asal.

"Kita jumpa banyak majikan yang menggajikan pekerja asing untuk sektor yang lebih murah levinya, contohnya seseorang itu dibawa masuk untuk bekerja sebagai pembantu rumah yang dikenakan levi sebanyak RM360 namun disuruh bekerja di kedai yang sepatutnya dikenakan levi sebanyak RM1,800.

"Ia akan menyebabkan kerugian kepada kerajaan," katanya.

Tiada ulasan: