Jumaat, 15 Januari 2010

Gaji minimum diumum Mac ini

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA - Perintah peraturan gaji minimum untuk beberapa kategori pekerjaan termasuk pengawal keselamatan, pembantu klinik, pekerja am kebun serta pekerja sektor hidangan dan hotel akan diwartakan tahun ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, serentak dengan itu, penetapan gaji minimum untuk pengawal keselamatan serta pekerja sektor hospitaliti dan hotel akan diumumkan dalam tempoh dua bulan lagi.

Menurutnya, gaji minimum untuk pekerja sektor elektronik dan tekstil pula akan diumumkan dalam tempoh enam hingga lapan bulan lagi.

"Saya telah bersedia untuk umumkan (gaji minimum) bagi pengawal keselamatan dan pekerja sektor hidangan dan hotel dalam masa terdekat.

"Gaji pengawal keselamatan di pasaran sekarang adalah amat rendah iaitu sekitar RM350 hingga RM400, justeru kita perlu ubah keadaan ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan pelancaran logo 1KSM di sini hari ini.

Subramaniam berkata, pelaksanaan gaji minimum perlu melibatkan perundingan dengan pelbagai pihak dan agensi untuk mengelakkan kesan negatif yang mungkin timbul.

"Pelaksanaan gaji minimum di negara lain menggunakan pendekatan berbeza iaitu secara nasional, wilayah atau mengikut sektor.

"Kita perlu mengkaji kaedah yang sesuai untuk memastikan pekerja tidak menerima kesan negatif selepas gaji minimum dilaksanakan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kementeriannya telah menyediakan draf peraturan kerja separa masa untuk memastikan pekerja-pekerja kategori itu dilindungi dan menikmati faedah.

"Peraturan ini digubal untuk memastikan lebih ramai rakyat bekerja secara sambilan dan secara tidak langsung mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementeriannya melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bercadang menubuhkan tabung khas untuk membantu pekerja yang diberhentikan.

"Perkeso juga akan mengukuhkan program pemulihan prestasi ke atas pekerja yang cedera dalam kemalangan supaya mereka dapat kembali bertugas.

"Program pemulihan ini melibatkan pegawai yang memiliki kepakaran dalam psikologi, kerja sosial dan fisioterapi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Subramaniam berkata, pusat-pusat kaunseling akan diwujudkan di pejabat Perkeso terpilih, pusat beli-belah dan perhentian bas untuk memberi bantuan.

"Pegawai-pegawai yang ditugaskan di pusat-pusat kaunseling ini akan membantu pencari kerja mendapatkan pekerjaan sesuai serta menggunakan kemudahan portal Jobs Malaysia," katanya.

Tiada ulasan: