Jumaat, 22 Januari 2010

Gabem ejen Umno, cuba kelirukan rakyat Kedah

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: PAS mengingatkan Pengerusi Majlis Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) Negeri Kedah, Datuk Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail agar tidak cuba menimbulkan kesangsian dan spekulasi yang tidak berasas terhadap keadaan ekonomi Kedah yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, Gabem yang juga merupakan sayap kepada Biro Ekonomi Umno dilihat cuba menimbulkan keraguan rakyat terhadap kejayaan yang telah dilakukan oleh Pakatan di negeri berkenaan.

Menurutnya, Kedah diambil alih oleh Kerajaan Pakatan dalam keadaan negeri itu menanggung hutang melebihi RM2 bilion setelah ditadbir BN selama 11 penggal.

Katanya, selepas Pakatan memerintah, dari Januari sehingga Ogos tahun 2009, negeri kedah berjaya menarik pelaburan bernilai RM837,345,329 untuk menduduki tempat kelima dalam senarai negeri yang mencatat jumlah pelaburan tertinggi selepas Sarawak, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

Jelasnya lagi, sehingga Oktober 2009, Kedah berjaya mengutip hasil RM211.6 juta, peningkatan juga berlaku melibatkan kenaikan kutipan royalti bahan batuan sebanyak RM19 juta dan hasil balak daripada RM8 juta setahun kepada RM35 juta.

Tambahnya, 11 buah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berjaya menyalurkan dividen kepada kerajaan negeri sebanyak RM30 juta.

“Fakta yang paling jelas menunjukan kejayaan Pakatan di Kedah adalah laporan Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri yang memperjelaskan bahawa perbandingan kadar kemiskinan di Kedah 2004 (zaman BN) dan 2009 (zaman Pakatan), berubah secara drastik daripada tujuh peratus kepada tiga peratus,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Katanya, kadar kemiskinan tegar berkurangan daripada 1.3 peratus kepada 0.3 peratus, pendapatan kasar bulanan isi rumah meningkat daripada RM2,126 kepada RM2,408, kadar pengangguran berkurangan daripada 3.8 peratus kepada 3.3 peratus.

“Ini adalah fakta-fakta awal yang dinafikan oleh Gabem demi untuk mempertahan kegagalan BN di Kedah selama ini,” ujarnya.

Beliau berkata, Gabem harus bersikap realitistik bahawa Kedah kini ditadbir oleh Pakatan dan sepatutnya membantu kerajaan negeri untuk memajukan ekonomi rakyat bukannya menimbulkan spekulasi yang boleh merugikan ekonomi negeri.

Menruutnya lagi, Gabem sebagai proksi Umno juga pada tahun lepas telah gagal memainkan peranannya untuk mempertahankan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang dibubarkan dalam penyusunan semula Kabinet.

Gabem, ujarnya turut bertanggungjawab membiarkan Presiden Umno memansuhkan syarat 30 peratus ekuiti bumiputra untuk pelaburan asing yang masuk ke negara ini.

“Sebagai badan yang kononnya mempertahankan ekonomi Melayu Gabem bersama Umno jelas telah mengkhianati orang Melayu dan bumiputra di negara ini.

“PAS yakin rakyat sedar bahawa Gabem merupakan satu organisasi yang ditubuhkan demi untuk memberikan ruang kepada kroni-kroni Umno menguasai ekonomi dan GLC milik Kerajaan yang mana mereka juga bertanggungjawab untuk membantu ekonomi Umno,” katanya.

Tambahnya, kebanyakan syarikat yang bukan ahli Gabem sering dinafikan hak untuk menerima tender Kerajaan Persekutuan selama ini.

Baginya, jelas Umno dalam semua aspek cuba untuk menjahanamkan rakyat dan cuba sedaya upaya mensabotaj Kerajaan Pakatan.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat dapat membuka mata dengan segala fakta dan perbandingan yang diberikan.

Katanya, walaupun baru dua tahun menguasai Kedah, dan dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Pakatan berjaya membuktikan bahawa pilihan rakyat dalam Pilihan raya Umum Mac 2008 adalah tepat.

Tiada ulasan: