Sabtu, 16 Januari 2010

Forum "Allah: Siapa yang punya?" Antara fakta, kebenaran dan kewajaran (II)

Lim Hong Siang



Tiada nas larang bukan Islam guna kalimah Allah

Kalau Khalif Muammar mendakwa tiada nas dalam al-Quran yang menyokong hujah bahawa nama "Allah" boleh digunakan oleh bukan Islam, pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Azwira A. Aziz pula mendakwa "tiada nas jelas dalam al-Quran yang melarang bukan Islam menggunakan kalimah 'Allah'".

Jelas Azwira (gambar kanan) lagi, "begitu juga, tiada nas yang jelas baik nas perlembagaan Malaysia, ataupun nas al-Quran yang mengkhususkan penggunaan kalimah Allah kepada orang Islam."

Azwira menambah, "...bukti tiada nas yang jelas dalam perkara ini dari sudut syariah Islam atau sumber Islam ialah, apabila pihak responden dalam kes ini, iaitu barisan peguam yang mewakili pihak kerajaan Malaysia ini gagal membuktikan perkara ini di mahkamah. Sehingga hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan membuat penghakiman membenarkan (penggunaan kalimah 'Allah' oleh bukan Islam)."

Malah, beliau memetik analisa pakar perundangan perlembagaan Malaysia, Abdul Aziz Abdul Rahman, "...keputusan hakim itu membuktikan pihak responden, peguam kerajaan gagal membuktikan beberapa perkara. Pertama, kalimah Allah itu khusus untuk orang Islam. Dia gagal buktikan ini. Yang kedua, bahawa orang bukan Islam atau penganut Kristian tidak guna kalimah itu dalam bible, tidak guna kalimah itu dalam ajaran mereka, dan tidak diguna oleh pemimpin agama. Pihak peguam gagal buktikan ini."

Dalam kes penggunaan kalimah "Allah" oleh Herald-The Catholic Weekly, pihak pemohon (applicant) mendakwa bahawa kalimah "Allah" telah digunakan sekian lama, malah mengemukakan bible terjemahan Munshi Abdullah sebagai buktinya.

Azwira A. Aziz menambah, "kalau perkara (di atas) ini dapat dibuktikan, dengan hujah, dengan nas, dengan fakta keagamaan yang jelas, nescaya keputusan itu akan bertukar."

Beliau berkata, seandainya terdapat nas yang jelas untuk melarang penggunaan kalimah "Allah" oleh bukan Islam dalam Quran dan Hadis, yang menjadi sumber rujukan Islam di Malaysia, maka boleh jadi mahkamah membuat keputusan yang menghina Islam jika menolak fakta tersebut.

Menyanggah satu demi satu

Pensyarah UKM ini menyanggah hujah-hujah daripada pihak yang berpendirian sebaliknya ketika menggulung pembentangannya. Untuk masyarakat Islam yang bimbang bahawa penggunaan kalimah "Allah" oleh bukan Islam bakal menimbulkan kekeliruan atau salah faham, yang berakhir dengan murtad atau keluar Islam, Azwira A. Aziz menganggap ia sekadar "andaian", dan beliau hanya menerima hujah sedemikian sekiranya ada kajian yang betul-betul membuktikan andaian tersebut.

Malah, beliau mengingatkan bahawa penggunaan kalimah "Allah" yang bersifat dakyah (bukan Islam kepada Islam) memang tidak dibenarkan dalam undang-undang. Azwira A. Aziz memetik penghakiman dalam kes ini yang berbunyi, "...adalah satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan kalimah 'Allah' pada orang Islam untuk menyebar-luaskan agama bukan Islam. Tetapi ia bukan satu kesalahan bagi bukan Islam mengguna kalimah itu kepada, sesama bukan Islam bagi tujuan agama."

Azwira juga menolak cadangan untuk mengenakan syarat agar penggunaan kalimah "Allah" dihadkan kepada "maksud yang sama dengan kefahaman orang Islam", yang padanya "syarat yang tidak boleh dipakai" kerana "itu tak ada makna". Bahkan beliau mengingatkan agar "orang Islam jangan buat kerja yang sia-sia".

Ketika menyanggah hujah bahawa "orang Melayu tempatan tidak biasa dengan penggunaan oleh Kristian", beliau menganggap kebiasaan setempat tidak boleh dijadikan alasan, kerana "banyak perkara yang kita timbulkan sebagai pembaharuan minda". Azwira mengambil contoh bahawa Nabi pernah ditentang masyarakat kafir kerana "membawa perkara yang luar biasa untuk masyarakat setempat.

"Memang setiap perkara bermula dari tak biasa. Bila dah biasa, barulah hilang bisa itu. Kita tak cakap biasa atau tak biasa, kita cakap di situ, hukumnya boleh atau tak boleh," tegasnya.

Maha untuk manusia dan Tuhan

Antaranya, "kekeliruan" konsep menjadi hujah yang paling kerap dibangkitkan untuk melarang penggunaan kalimah "Allah" oleh bukan Muslim. Azwira yang mendapat "ilham" daripada sahabatnya, meyakinkan masyarakat Islam bahawa mereka berupaya membezakannya dengan contoh "Maha Mulia".

Beliau berkata "Maha Mulia" itu adalah sifat Allah, tetapi "Duli Yang Maha Mulia" digunakan terhadap Yang Dipertuan Agong yang merupakan manusia. "Tetapi kerana orang Melayu dah biasa, mereka boleh beza maksud tu, Maha Mulia kepada Allah, Yang Maha Mulia kepada manusia," katanya yang disambut dengan tepukan gemuruh dari bawah pentas.

Azwira seterusnya mengulas isu ini dari perspektif bahasa persuratan sesuatu bangsa, yang pada pengamatannya, kalimah "Allah" telah menjadi kalimah bahasa Melayu. "Maka orang Kristian yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasminya, dia nak guna kalimah dalam konteks bahasa Melayu," sebelum beliau melontarkan pertanyaan kepada mereka yang mencadangkan istilah alternatif, "Takkan kita nak cadang orang Malaysia menggunakan bahasa Yahudi?"

Beza Malaysia dpd lain: UMNO

Khalid Samad (gambar kiri), ahli parlimen Shah Alam-PAS, yang sering mencungkil kontroversi dengan pendiriannya dalam isu agama, diaturkan sebagai panel terakhir untuk berucap.

"Saya rasa, mungkin Malaysia ialah satu-satu negara dunia Islam ini yang kecoh pasal isu penggunaan kalimah Allah oleh orang-orang bukan Islam," beliau menggelakkan satu dewan apabila menyambung, "...apa yang bezakan negara Islam lain dengan Malaysia? Bezanya, UMNO."

Pemimpin PAS ini kemudian menuding jari kepada UMNO, "Mereka mahu menguasai, memiliki Islam ikut takrif mereka. Inilah masalahnya!"

Beliau menyahut pandangan Azwira bahawa tidak ada nas yang mengharamkan penggunaan kalimah "Allah" oleh bukan Islam, "Tak pernah Rasulullah memberitahu mereka (bukan Islam) tak boleh guna nama Allah. Tapi apa yang Rasulullah beritahu ialah, Allah yang kamu maksudkan tidak sama seperti mana Allah yang kita (Islam) maksudkan."

"Saya rasa ianya merupakan satu masalah yang sengaja ditimbulkan," secara terus terang Khalid Samad melontarkan tanggapannya.

Beliau juga membacakan ayat dalam al-Quran, yang mengatakan bahawa Allah perintah orang Islam "Alhamdulillah", apabila bukan Islam menjawab bahawa pencipta adalah "Allah". "...(Allah) bukan ajar kita 'jangan cakap, cakap tokong awak, ataupun cakap tuhan awak!' (kepada bukan Islam)"

"Saya tak faham dari mana datangnya kefahaman yang seperti begini," katanya.

Perbezaan antara Islam dengan bukan Islam

Khalid Samad berkali-kali menekankan bahawa tauhid yang membezakan antara Islam dengan bukan Islam. "Perbezaan di antara Islam dengan bukan Islam bukan kalimah 'Allah', (tetapi) kefahaman tentang sifat-sifat Allah, hakikat bahawa Allah itu Esa. Hakikat bahawa Allah itu maha penyayang, maha pengasih. Ini yang bezanya."

Khalid Samad tidak melepaskan peluangnya untuk menyerang UMNO dalam forum tersebut, apabila sekali lagi menuding kepada UMNO, "Yang menghalang kita daripada memahami, dan menimbulkan isu-isu sehingga keliru kita ini, sampai benda yang basic (asas) sebegini pun kita tak dapat bezakan. UMNO-lah!"

Malah, ketika menjawab soalan daripada hadirin bahawa "sama ada beliau betul-betul memahami Islam", Khalid Samad membubuh tanda noktah kepada ucapannya dengan berkata, "Saya tak faham Islam ala-Melayu."

Allah dipunyai?

Apa yang menarik, tajuk forum "Allah: Siapa yang punya?" ini ditegur oleh beberapa orang panelis, yang dianggap berbau provokasi. Azwira menganggap "pemilikan" itu bermaksud "penguasaan", padahal Tuhan yang menguasai segala-galanya. Eddin Khoo, sebagai budayawan, penulis dan pengkaji agama, juga berpandangan bahawa Tuhan tidak boleh dimiliki.

Eddin Khoo (gambar kiri) yang pernah bekerja sabagai wartawan di media arus perdana, menceritakan pengalamannya satu dekad dahulu, bagaimana media diarahkan agar tidak menyiarkan gambar pemimpin melawat ke gereja pada hari Krismas. Beliau berharap agar pertikaian kalimah "Allah" ini dapat dikendalikan secara bertamadun, daripada sekali lagi "membina tembok yang sensitif".

Seorang lagi ahli panel, Hasmi Hashim yang merupakan penulis, mengambil kesempatan untuk "membersihkan nama" Munshi Abdullah, yang diejek, ditohmah dan difitnah sebagai "paderi Munshi" kerana terlibat dalam penterjemahan injil kepada bahasa Melayu.

Hasmi Hashim memetik beberapa ayat tulisan Munshi Abdullah, yang merupakan luahan Munshi ketika berdepan dengan tuduhan tersebut, "...banyaklah orang menyatakan pekerjaan itu tiada baik, iaitu merosakkan agama adanya, maka apabila aku mendengar perkataan itu, tunduklah aku sambil keluar air mataku, serta berfikir: 'Dari mana gerangannya datang bencana ini? Terlalu bodoh.'"

Hasmi Hashim (gambar kanan) antara pemuda yang membantah penggantungan permit penerbitan dalam isu karikatur Nabi, berlaku pada Oktober 2006, sekali lagi menyeru agar berhati-hati ketika menguruskan krisis ini.

Hasmi menyedari bahawa kebimbangan segelintir muslim seandainya kalimah "Allah" itu disalahguna pihak bukan Islam, tetapi tetap tidak menganggap bahawa ia adalah alasan bagi Muslim untuk tidak memberikan hak dan keadilan kepada yang bukan Islam.

Hasmi Hashim mengingatkan hadirin bahawa sehinggalah Munshi meninggal dunia pada tahun 1854 di Jeddah, Munshi kekal sebagai seorang Muslim. Pegangan agama Munshi tidak pernah goyang atau tercalar sepanjang waktu beliau melakukan kerja terjemahan Injil, bahkan sepanjang hayatnya.

Tiada ulasan: