Sabtu, 30 Januari 2010

Felcra mula perkenal sawah padi organik

BERNAMA


KAMPUNG GAJAH - Felcra Berhad mula mengorak langkah untuk melaksanakan penanaman padi organik sepenuhnya di kawasan jelapang padi Felcra Seberang Perak di sini melalui pelancaran projek perintis Pakej Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM) Lestari, hari ini.

Projek perintis itu dimulakan di kawasan seluas 26 hektar daripada keseluruhan kawasan 4,000 hektar jelapang padi berkenaan.

Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, melalui program perintis itu, kaedah penanaman padi yang berkonsepkan mesra alam serta meningkatkan hasil dan mengurangkan kos akan diperkenalkan.

"Di bawah pakej IPM ia dapat mengurangkan penggunaan racun serangga perosak melalui strategi kawalan yang berdasarkan ekologi yang bergantung kepada faktor semulajadi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan projek perintis itu, di sini.

Beliau berkata, konsep itu dilaksanakan dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan ia dijangka mampu menghasilkan pendapatan bersih RM4,000 sehektar berbanding RM1,000 sehektar jika menggunakan racun serangga perosak.

Tiada ulasan: