Selasa, 5 Januari 2010

Enjin F-5E: Kenyataan AG meragukan, tubuh segera Suruhanjaya Diraja

Nazri Abdullah


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mendakwa pengumuman yang di buat oleh Peguam Negara bahawa siasatan Polis mendapati tiada pegawai tinggi terlibat dalam skandal kehilangan dua enjin pesawat pemintas F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) adalah meragukan.

Katanya apa yang dipersoal mana mungkin kehilangan aset TUDM dengan nilai 100 juta ringgit itu hanya dilakukan pegawai rendah dan anggota biasa sahaja.

"Ini bukan kehilangan spare part di kedai baiki kereta yang boleh seorang pormen boleh masukan barang dalam poket dia dan keluar dari kedai tersebut untuk jual di pasaran gelap.

"Kalau spare part kedai baiki motor hilang boleh lah di katakan tauke tak tahu ini enjin jet dan bukannya boleh di junjung di atas bahu seorang prebet cabuk TUDM, melainkan mesti satu pakatan yang cukup bersetrategi," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga mendakwa tidak menolak kemungkinan ada strategi pihak tertentu cuba memadamkan dan menghilangkan bukti dan fakta kes memandangkan tempoh siasatan sangat lama sehingga menjangkau 16 bulan.

"Tempoh masa yang panjang setahun empat bulan bermula dari Ogos 2008 untuk siasatan dan tolak menolak antara Peguam Negara dan PDRM memungkinkan sebagai satu strategi untuk memadam dan menghilangkan bahan bukti dan fakta kes yang membabitkan Pegawai Kanan atasan TUDM dan penglibatan politik di KEMENTAH dan Kerajaan," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Kemungkinan tersebut katanya bersandarkan kepada beberapa kes berprofil tinggi sebelum ini juga diragui semua pihak.

"Bukti yang jelas dalam kes kematian Altantuya ialah dokumen perjalanan masuk ke Malaysia yang sepatutnya berada dalam simpanan Imegresen telah di hilangkan," katanya lagi.

Kenyataan awal pihak menteri bertanggungjawab dan Panglima Tentera berhubung kehilangan enjin jet itu juga dakwanya dilihat seolah cuba menyembunyikan sesuatu.

"Kenyataan awal yang di buat oleh Menteri Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera bahawa ada pegawai pangkat Bregedia Jeneral dan berbagai pangkat telah di ambil tindakan di berhentikan kerana terlibat dalam kes ini tetapi kemudian di nafikan dengan kenyataan mengatakan mereka di berhentikan kerana kes yang lain. Ini menunjukkan ada sesuatu yang cuba di sembunyikan," katanya lagi.

Sehubungan itu belaiu sekali lagi mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib menubuhkan Suruhanjaya Diraja atau sekurang-kurangnya memanggil sidang khas parlimen dengan membawa usul pembentukkan Jawatankuasa Siasatan Bebas jika benar tidak berhasrat menyembunyikan sesuatu.

"Jika tidak saya menganggap siasatan yang di umumkan oleh Peguam Negara adalah satu konspirasi antara PDRM, TUDM, AG dan BN untuk memangsa dan mengkambing hitamkan Pegawai Rendah TUDM bagi menyelamatkan kepentingan politik BN bukan sahaja dalam kes ini tetapi dalam isu pembelian dan penjualan keperluan dalam industri Pertahanan yang melibatkan amalan rasuah dan penyelewengan pemimpin BN," katanya.

Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail memberitahu bahawa siasatan mendapati hanya kakitangan peringkat bawahan saja yang terlibat dalam skandal kehilangan dua enjin pesawat pemintas F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bernilai RM100 juta.

Tiada ulasan: