Khamis, 7 Januari 2010

Dr Chua Perlu Letak Jawatan Percepat Proses Pemilihan MCA

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek perlu meletak jawatan bagi menyegerakan proses pemilihan baru parti itu.

Beliau berkata, peletakan jawatan oleh Dr Chua akan mempengaruhi pengikutnya untuk turut melakukan perkara yang sama supaya dapat diadakan pemilihan baru bagi menyelesaikan krisis kepimpinan yang melanda parti itu sejak sekian lama.

"Beliau sepatutnya bukan hanya bercakap tetapi mesti bertindak, supaya orang lain dalam Jawatankuasa Pusat (CC) juga melakukan perkara yang sama," katanya kepada pemberita selepas mengiringi Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri, melawat pesakit pemindahan jantung Tan Geek Koon di Institut Jantung Negara (IJN), di sini hari ini.

Liow berkata demikian bagi mengulas kenyataan Dr Chua semalam bahawa beliau yakin lebih ramai anggota CC akan melepaskan jawatan masingmasing, terutama selepas sambutan Tahun Baru Cina.

Beliau berkata, pada mesyuarat jawatankuasa khas parti itu semalam, semua anggota bersetuju tentang pemilihan baru tetapi masalah yang timbul hanyalah masa untuk mengadakan pemilihan.

"Datuk Seri Chua Soi Lek telah berjanji untuk turut meletak jawatan. Oleh itu, untuk mempercepatkan proses pemilihan Datuk Chua Soi Lek boleh meletak jawatan terlebih dahulu, " katanya.

Liow berkata, beliau telah melakukan bahagiannya dengan menyerahkan surat peletakan jawatan yang tidak bertarikh bersama 12 lagi anggota CC kepada Setiausaha Agung parti Datuk Wong Foon Meng pada 15 Dis lepas.

Katanya, kini giliran Dr Chua untuk melakukan perkara yang sama, dan juga Presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat untuk berbuat demikian kerana mereka bertiga telah bersetuju untuk melakukannya.

Tiada ulasan: