Isnin, 18 Januari 2010

Dedah laporan SPRM untuk kesedaran masyarakat

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh didedahkan kepada media jika bertujuan untuk memberikan kesedaran pendidikan anti korupsi kepada masyarakat.

Untuk ini, Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (Gerak) bersedia memberikan pandangan secara menyeluruh kepada SPRM berkaitan pendekatan membanteras rasuah termasuk mengambil kira perspektif pandangan rakyat.

Pengerusi Gerak, Mohd Nazree Mohd Yunus berkata, SPRM tidak akan berdiri tegak tanpa dukungan rakyat dan media.

“Kita yakin jika SPRM mempunyai pegawai-pegawai yang cekap, mereka mampu untuk menyelesaikan kes-kes rasuah walaupun sudah ada hebahan media sebelum ini.

“Kita lihat pada hari ini, kebanyakan kes-kes yang didakwa oleh SPRM ke mahkamah juga adalah hasil daripada hebahan rakyat dan juga media. Kita beranggapan perkara ini semua banyak membantu SPRM,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Katanya, kes-kes berprofil tinggi seperti skandal PKFZ, ketirisan pengurusan wang negara melalui laporan Audit Negara, dakwaan salahguna kuasa Setiausaha Politik PM, kes banglo Khir Toyo, kehilangan enjin jet, kes akuan bersumpah Bala dan lain-lain lagi kes yang penting wajib ditangani secara segera oleh SPRM untuk memulihkan imejnya.

Beliau berkata, dalam kes Setiausaha Politik PM misalnya, sehingga hari ini tidak ada siasatan mula oleh SPRM dilakukan walaupun Parlimen Malaysia telahpun dimaklumkan berkaitan dakwaan salah laku beliau.

Menurutnya, perubahan integriti oleh Perdana Menteri akan dilihat gagal jika masih terdapat lagi individu-individu yang tidak bersih berada di sekeliling beliau.

“Pendakwaan permulaan oleh SPRM dalam kes PKFZ disambut baik oleh Gerak dan kita mahukan agar kes ini dapat diselesaikan sehingga pihak yang benar-benar terlibat dalam skandal rasuah berskala mega dapat didakwa dan diambil tindakan oleh mahkamah,” ujarnya.

Beliau juga menggesa SPRM mengambil kira pandangan rakyat tentang kaedah melaporkan aduan rasuah kepada badan tersebut.

Ini berdasarkan kenyataan daripada SPRM sebelum ini yang tidak membenarkan aduan yang dibuat kepada suruhanjaya itu didedahkan akan menyebabkan rakyat akan bimbang untuk melaporkan kepadanya.

Tambahnya, walaupun di bawah seksyen 29(4), Akta BPR 1997 telah menyatakan perkara itu, namun adalah wajar untuk SPRM memberikan ruang kepada rakyat untuk sedikit sebanyak berkongsi aduan bersama-sama dengan media.

“Kita harus sedar bahawa rasuah adalah suatu bentuk jenayah yang luar biasa dan perlu ditangani secara luar biasa. Kita juga bersetuju, laporan kepada SPRM tidak boleh didedahkan kepada media jika bertujuan untuk mengaibkan pihak lain,” katanya lagi.

Baginya, pendekatan secara monotaip tidak akan memberikan kesan besar terhadap agenda membanteras rasuah.

Tiada ulasan: