Jumaat, 8 Januari 2010

Datuk Bandar Melaka cedera langgar lori

BERITA HARIAN ONLINE


MELAKA: Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah, Datuk Yusof Jantan, cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya melanggar belakang sebuah lori di Jalan Tun Razak-Ayer Keroh, berhampiran bangunan Peringgit Point, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku dalam hujan lebat kira-kira jam 6.55 pagi, ketika beliau dalam perjalanan menghantar anak lelakinya ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Melaka, di Bandar Hilir.

Berikutan kejadian itu, beliau terpaksa menjalani pembedahan kecil pada bahagian tangan di Hospital Melaka, yang dipercayai cedera kerana terkena serpihan kaca cermin bahagian depan yang pecah. Anak lelakinya yang terkena serpihan kaca hanya mendapat rawatan pesakit luar.

Yusof yang ditemui di Hospital Melaka semalam, berkata, sejurus sebelum kejadian itu beliau cuba menjawab satu panggilan telefon menerusi telefon bimbitnya dan tidak menyedari ada lori di hadapan.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Daerah Melaka Tengah, Asisten Supritendan Poonam E Kling ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan punca kejadian kini sedang disiasat.

Tinjauan mendapati kenderaan yang dipandu Yusof remuk teruk pada bahagian depan.

Tiada ulasan: