Isnin, 11 Januari 2010

Catatan hidup Fatimah dalam tulisan Jawi

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Tun Fatimah Hashim yang meninggal dunia hari ini meninggalkan catatan yang lengkap mengenai perjalanan kehidupan sehariannya sebagai seorang ibu, nenek dan tokoh politik.

Menurut cucunya, Fatasha Zurah Abdul Karim, 30, neneknya merupakan seorang yang cukup teliti apabila mencatatkan segala aktiviti hariannya dalam diari.

Lebih menarik katanya, tokoh pejuang wanita itu menulis kesemua catatan berkenaan dalam tulisan jawi.

"Nenek menulis aktiviti sehariannya dalam diari sejak dahulu lagi.

"Entri terakhirnya bertarikh 8 Januari iaitu dua hari lepas," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Fatasha Zurah menyifatkan neneknya sebagai seorang yang penyayang kerana sentiasa bimbang sekiranya anak dan cucu-cucunya tidak dapat menguruskan kehidupan masing-masing.

"Sehingga menghembuskan nafas yang terakhir, beliau masih lagi risau akan kebajikan anak-anak dan cucu-cucunya," katanya.

Menurutnya, Allahyarham tetap mahu mengikuti perkelahan keluarga pada 26 Disember lepas walaupun kesihatannya semakin merosot.

''Itulah kali terakhir kami sekeluarga melakukan aktiviti bersama," ujarnya.

Menurut Fatasha Zurah, Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya dalam keadaan yang cukup tenang di hadapan sanak-saudara.

Beliau memberitahu, sebelum ini Allahyarham seolah-olah mengetahui ajalnya sudah semakin dekat apabila bermimpi bertemu dengan suaminya, Tan Sri Abdul Kadir Yusuf yang kembali ke rahmatullah pada 18 April 1992.

Katanya, mimpi itu diceritakan kepada ahli keluarga ketika menyambut hari ulang tahun kelahiran beliau yang ke-85 pada 25 Disember lalu.

Sementara itu anak keempat Allahyarham, Ali Abdul Kadir ketika ditemui berkata, darah politik sentiasa mengalir dalam tubuh ibunya yang memperjuangkan kepentingan negara.

Menurutnya, sebagai seorang ibu, Allahyarham sentiasa memastikan bahawa beliau dapat meluangkan masa bersama anak-anaknya.

Beliau memberitahu, kesihatan Allahyarham semakin merosot sejak beliau dirompak beberapa tahun lalu.

"Beliau telah diikat dan diacukan pisau ke lehernya sehingga diserang sakit jantung.

"Malam semalam, beliau mengadu sukar untuk bernafas sebelum menghembuskan nafas terakhir," katanya.

Tiada ulasan: