Khamis, 14 Januari 2010

Calon wanita bertanding akan dibiayai parti: Zuraida


SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah mendapatkan ‘lampu hijau’ daripada Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membiayai calon-calon wanita yang bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Ketuanya, Zuraida Kamaruddin berkata, tindakan itu bagi menjadi kan wanita lebih berani melibatkan diri dalam arena politik.

“Usaha saya kini lebih tertumpu bagi mengenal pasti wanita-wanita yang berpotensi dalam bidang politik untuk diketengahkan,” katanya.

Menurutnya, tabung khusus juga bakal disediakan bagi memastikan usaha tersebut berjalan lancar.

“Sudah pasti mereka sukar untuk memulakan pelbagai aktiviti tanpa ada sebarang bantuan,” katanya Sinar Harian.

Beliau berkata, Wanita PKR meminta agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mewujudkan akta bagi memberi ‘laluan’ 30 peratus calon wanita bertanding dalam pilihan raya.

“Walaupun perkara ini telah lama dibangkitkan, nampaknya kerajaan tidak mengambil serius.

“Walau bagaimanapun PKR terus berjuang dan berterusan membuat desakan ke atas SPR,” katanya ketika diminta mengulas hasil resolusi ‘Wacana Gender’ yang diadakan Ahad lepas.

Antara hasil lain wacana itu adalah menggesa agar kerajaan, parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) meletakkan wanita dalam kedudukan yang strategik di peringkat membuat dasar, perancangan, operasi serta program pembangunan kapasiti wanita yang serius, komited di semua peringkat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, apabila parti membuka ruang, segala urusan boleh diuruskan dengan baik.

“Masa depan wanita juga terjamin,” katanya.

Tiada ulasan: