Sabtu, 23 Januari 2010

Nik Aziz Nafi Rumah Kelantan Di Kuala Lumpur Dijual

BERNAMA


KOTA BAHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan kerajaan negeri telah menjual Rumah Kelantan, di Kuala Lumpur bagi menampung kos pengurusan kerajaan negeri itu seperti didakwa oleh Ketua Umno Bahagian Kota Baharu Datuk Mohd Fatmi Che Salleh.

Sebaliknya, kata beliau, bangunan yang terletak di Jalan Conlay itu hanya akan dimajukan oleh sebuah syarikat di ibu negara dan kerajaan negeri mempunyai kepentingan dalam projek membangunankan semula bangunan itu. "Rumah Kelantan itu sebenarnya tidak dijual, tetapi akan didevelopkan (dimajukan) semula oleh sebuah syarikat dan kerajaan mempunyai kepentingan dalam projek itu," katanya kepada pemberita selepas meraikan rombongan anggota Parlimen Kapar, Selangor di kediaman rasminya di JKR 10, di sini, hari ini.

Hadir sama anggota Parlimen kawasan itu, S.Manikavasagam dan Ketua Parti Keadilan Rakyat Cabang Kapar, Meru, Mohd Bakir Abdul Wahab.

Mohd Fatmi yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri bercakap kepada pemberita semalam mendakwa bahawa Rumah Kelantan yang terletak atas sebidang tanah kurnia di Jalan Conlay, telah dijual kepada seorang pengusaha tempatan.

"Ini antara beberapa bidang tanah dan harta rakyat yang dijual oleh kerajaan Pas Kelantan sejak parti itu memerintah hampir 20 tahun lalu," kata Mohd Fatmi.

Mengulas isu itu Nik Aziz berkata perkara itu telah diputuskan oleh mesyuarat Exco sebelum ini dan bukan dibuat oleh seorang anggota Exco seperti yang didakwa.

Ditanya mengenai cadangan Exco Kanan Negeri, Datuk Husam Musa supaya Menteri Besar itu menyiasat pihak yang membocorkan mesyuarat Exco berhubung keputusan kerajaan negeri membayar balik kepada Syarikat Sensa Timur bagi projek pembinaan kompleks Bazar Tok Guru, Nik Aziz berkata: "Saya tidak bercadang untuk menyiasat perkara itu, kerana saya menyerahkan kepercayaan kepada pegawai saya. Saya meletakkan sangkaan baik kepada orang-orang di bawah saya," katanya.

Pembayaran balik itu dikatakan menyebabkan kerajaan menanggung rugi.

Menurut Nik Aziz, beliau tidak nampak kemelut yang berlaku dalam PAS seperti yang dilaporkan oleh media sejak kebelakangan ini. "Apa yang ditimbulkan itu ialah oleh musuh yang ingin mengkhianati parti dan mahu melihat perpecahan berlaku dalam PAS," katanya.

Tiada ulasan: