Isnin, 4 Januari 2010

Bekalan habis kerana pembeli panik

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Kebanyakan kedai runcit dan pasar raya di ibu negara kehabisan bekalan gula ekoran pembelian panik oleh para pengguna sehari sebelum harganya dinaikkan berkuat kuasa kelmarin.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati, jika terdapat bekalan sekalipun, para pekedai akan mengehadkan jualan gula sebanyak satu kilogram kepada setiap pelanggan.

Bagaimanapun menurut pekedai, keadaan tersebut adalah sementara kerana bekalan tambahan tidak dapat diperolehi berikutan cuti umum tahun baru 2010 yang bersambung dengan cuti hujung minggu.

Pekerja sebuah pasar raya di sini, Fathul Aliff Shobri, 24, berkata, berikutan itu, stok gula yang ada ketika ini tidak mampu menampung permintaan keperluan pengguna.

''Kami sudah menjangkakan keadaan sedemikian tetapi tidak berupaya membuat pesanan baru daripada pembekal secara serta merta kerana cuti hujung minggu yang panjang,'' katanya.

Pemilik kedai runcit, Faizal Rahman, 27, berkata, bekalan gula di kedainya habis sama sekali selepas pembelian panik oleh pengguna yang seakan tahu harga gula akan dinaikkan mulai kelmarin.

''Sehingga hari ini, masih ramai pengguna yang bertanyakan tentang gula, tetapi apa boleh buat, memang kami pun tak ada bekalan,'' ujarnya.

Khamis lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengumumkan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen kepada RM1.65 sekilogram di Semenanjung, serta RM1.75 sekilogram di Sabah dan Sarawak berkuat kuasa kelmarin.

Tinjauan Utusan Malaysia juga mendapati kebanyakan pengusaha restoran masih tidak bercadang untuk menaikkan harga makanan dan minuman buat masa ini.

Pengusaha restoran di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Seyed Sultan, 46, mengakui beliau dalam dilema sama ada untuk menaikkan harga jualan atau tidak.

''Saya tidak mahu menaikkan harga jualan kerana ia boleh beri kesan kepada pelanggan tetapi jika tidak berbuat demikian saya pula akan kerugian dalam jangka panjang,'' jelasnya.

Seorang pengusaha restoran 24 jam di Cheras, Abdul Razak Jawhar, 35, berkata, setakat ini beliau masih tidak merasai kesan kenaikan harga gula kepada perniagaannya

''Namun jika kenaikkan ini menjejaskan pendapatan saya, saya mungkin terpaksa menaikkan harga minuman seiring dengan kenaikan harga gula ini,'' ujarnya.

Sementara itu bagi golongan pengguna, walaupun memahami sebab harga gula terpaksa dinaikkan namun mereka tetap mempunyai pendapat tersendiri.

Seorang penjual kuih, Bibah Jaafar, 38, berkata, kenaikan harga gula tetap menjadi satu bebanan kepada golongan penjual kuih sepertinya kerana ia pastinya menjejaskan keuntungan secara langsung.

Bagi Muhammad Rahmatullah Abu Majed, 31, beliau agak bimbang peningkatan harga gula akan menyebabkan para peniaga makanan dan minuman turut menaikkan harga jualan mereka.

''Justeru harap kerajaan memantau dan bertindak tegas kepada mana-mana pihak yang sengaja membuat keuntungan segera sedangkan kenaikkan 20 sen sekilogram tidaklah terlalu tinggi,'' katanya.

Pendapat berbeza pula disuarakan seorang pekerja swasta, Yeo Peck Chuan, 45, kerana baginya, pengurangan subsidi ini adalah langkah baik oleh kerajaan dalam usaha mencorak satu kehidupan yang sihat kepada rakyat Malaysia.

Muhamad Desa Itam, 63, berkata, kenaikan harga gula sepatutnya tidak terlalu memberi kesan kepada perbelanjaan rakyat kerana pengambilannya masih boleh dikawal.

''Kenaikan harga gula boleh membendung corak pemakanan yang tidak sihat kerana gula inilah yang menjadi punca utama pelbagai penyakit di Malaysia,'' ujarnya.

Tiada ulasan: