Sabtu, 16 Januari 2010

Bekalan beras ST15 meruncing

Oleh SAFINA RAMLI


ALOR SETAR – Masalah ketiadaan beras Super Tempatan 15 peratus hancur (ST15) di negeri ini berulang kembali walaupun ia telah diselesaikan sebelum ini oleh kerajaan.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusuff Ismail mendakwa, dia sendiri telah turun padang meninjau di kedai-kedai runcit di beberapa daerah di negeri ini seperti di Sik, Baling, Kulim, Kota Setar dan mendapati beras ST15 memang sudah agak lama tiada di pasaran.

“Sebelum ini saya banyak menerima panggilan telefon daripada orang awam yang melaporkan mengenai ketiadaan beras ST15 di pasaran.

“Saya telah meninjau di Sik dan Kulim Isnin lalu dan memang benar dakwaan orang ramai bahawa beras ST15 tiada di pasaran,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut beliau, masalah itu membebankan golongan yang berpendapatan rendah kerana mereka yang banyak membeli beras ST15.

“Saya tidak tahu apa masalah sebenar yang membuatkan bekalan beras ST15 tiada di pasaran Kedah,” ujarnya.

Yusuff bagaimanapun berkata, beliau difahamkan terdapat masalah yang melibatkan kuota pengeluaran beras ST15 oleh pihak Kawal Selia Padi sehingga menjejaskan bekalan beras itu.

Jelasnya, kerajaan harus segera menangani masalah itu kerana tidak semua orang mampu membeli beras gred lain yang lebih mahal.

“Sekarang kos hidup tinggi dan semua benda mahal termasuk beras.

“Saya juga harap kerajaan akan menambah bekalan beras ST15 kerana boleh dikatakan semua daerah di negeri ini mengalami terputus bekalan ST15 sejak sebulan lalu,” ujarnya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kedai runcit di daerah Kota Setar mendapati bekalan beras ST15 tiada di pasaran dan hanya beras gred lain yang dijual.

Seorang peruncit, Raja Kamaruddin Raja Yaakob berkata, bekalan beras jenis itu memang terputus sejak awal bulan ini.

“Dulu ada juga pemborong hantar sekurang-kurangnya lima kampit, namun sejak awal tahun ini tiada langsung bekalan dihantar. Bila saya tanya pemborong, mereka kata, bekalan tiada dan susah juga untuk saya menerangkan kepada pelanggan yang datang mencari beras tersebut,” ujarnya.

Tiada ulasan: