Ahad, 17 Januari 2010

Bazaar Tok Guru: Pemuda Umno buat laporan polis

BERNAMA


Pergerakan Pemuda Umno Kelantan hari ini membuat laporan polis meminta siasatan dibuat terhadap pengakuan Menteri Besar
Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam berhubung urusniaga pembelian kompleks perniagaan Bazaar Tok Guru di Kota Bharu.

Laporan polis itu dibuat oleh Ketua Penerangan Pemuda Umno negeri Che Othman Che Will di Balai Polis Kota Baharu pada kira-kira pukul 11.30 pagi.

"Apakah ada konspirasi di sebalik pembelian balik bazaar itu yang seolah-olah sudah dirancang oleh pihak tertentu untuk mengaut wang kerajaan bagi kepentingan syarikat terlibat," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas membuat laporan itu hari ini.

Semalam Nik Abdul Aziz dilaporkan mengesahkan kerajaan negeri terpaksa membeli kompleks perniagaan Bazar Tok Guru bernilai RM23 juta yang sedang dalam pembinaan daripada pemaju Sensa Timur disebabkan oleh masalah teknikal, demi menjaga kepentingan peniaga.

Che Othman berkata laporan satu muka surat yang dibuat kepada polis hari ini antara lain meminta pihak berkuasa menyiasat di sebalik pembelian balik bangunan perniagaan itu yang dikatakan perlu ditanggung oleh kerajaan.

"Kami minta polis siasat dengan teliti perjanjian yang dibuat di antara kerajaan negeri dan syarikat terbabit yang kemungkinan ada perjanjian yang menguntungkan individu tertentu," katanya.

Tiada ulasan: