Selasa, 19 Januari 2010

Bantu SPR daftar 4.39 juta pengundi segera

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengesa Jentera Pilihanraya PAS di semua peringkat Parlimen dan DUN untuk membantu Suruhanjaya Pilihan raya Malaysia (SPR) bagi mendaftarkan 4.39 juta pengundi yang belum mendaftar sebagai pemilih.

Jumlah yang dilaporkan oleh SPR semalam adalah baki 28 peratus dari jumlah pemilih yang layak tetapi masih belum dapat mendaftar.

Ini bermakna hampir satu pertiga pengundi di negara ini belum mendaftar.

Demikian kata Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad dalam kenyataannya kepada media.

Rekod Pilihanraya Umum Mac 2008 menunjukan 72 peratus iaitu 7,878, 875 pemilih keluar mengundi dari 10,922,139 pemilih berdaftar diseluruh negara.

Secara kasarnya jika dicampur jumlah yang tidak mengundi dan belum mendaftar, maka jumlah keseluruhan mereka adalah 7.49 juta atau lebih dari separuh pemilih yang layak mengundi tidak menyertai Pilihanraya 2008.

"Oleh itu PAS menawarkan satu kerjasama serius digerakkan antara SPR dan diperingkat akar umbi PAS bagi memberikan kefahaman kepada rakyat tentang pentingnya mereka melibatkan diri serta besarnya nilai undi mereka dalam menentukan hala tuju negara," kata Idris.

Demi memastikan negara ini dapat dipimpin oleh Kerajaan yang lebih baik dimasa hadapan, katanya, program-program kempen pendaftaran pengundi baru perlu digerakkan dan disusun secara berjadual.

"PAS melihat inilah peluang untuk memberikan sumbangan kepada demokrasi dan memimpin rakyat untuk memahami hak mereka sebagai pengundi," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta jentera PAS serius untuk mengambil peluang dalam menyampaikan dakwah dan juga hasrat perjuangan sebagai mengalakkan rakyat keluar mengundi kelak.

PAS juga berharap agar pengundi dalam Pilihanraya akan datang dapat membuat penilaian dan keputusan yang berani demi mengubah landskap pemerintahan negara yang sudah 12 penggal ditadbir oleh Kerajaan yang korup dan zalim, katanya.

Tiada ulasan: