Jumaat, 15 Januari 2010

Banjir: Kuching, Samarahan diletakkan dalam berjaga-jaga

UTUSAN ONLINE


KUCHING . - Penduduk Sarawak terutama di Kuching dan Samarahan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan hujan lebat sejak beberapa hari ini yang mungkin mengakibatkan banjir.

Keadaan itu diburukkan dengan keadaan fenomena air pasang besar setinggi 5.7 meter bermula hari ini dan keadaan itu dijangka berlarutan untuk tempoh beberapa hari lagi.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, bagaimanapun orang ramai diminta tidak panik dengan keadaan hujan yang berterusan ketika ini meskipun amaran cuaca peringkat kuning terus dikeluarkan.

Beliau berkata, ketika ini paras air Sungai Sarawak masih di tahap selamat iaitu di bawah 1.5 meter dan langkah mengurangkan paras air di pintu air Baraj Sungai Sarawak telah pun dilakukan.

"Namun, kawasan rendah di Kuching dan Samarahan tetap berisiko tinggi dilanda banjir dan dijangka bertambah buruk dalam beberapa hari akan datang apabila hujan diramal berterusan diikuti kejadian air pasang," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan mengejut ke pintu air Baraj Sungai Sarawak bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Ose Murang.

Dalam pada itu, Jabu memberitahu, semua pusat pemindahan mangsa banjir di beberapa daerah telah diaktifkan dan anggota daripada jabatan dan agensi yang berkaitan sudah digerakkan ke kawasan rendah bagi meninjau sendiri keadaan di situ.

Namun, jelasnya, setakat pukul 6 petang ini, masih tiada kejadian banjir dilaporkan berlaku di bahagian Kuching serta Samarahan.

"Selain itu, beberapa batang jalan raya di kawasan rendah di Bau telah ditenggelami air hampir satu meter," katanya.

Ditanya sama ada bahagian lain di Sarawak turut berdepan bencana banjir, Jabu memberitahu, kawasan di utara negeri ini seperti Limbang, Lawas, Miri dan Bintulu ketika ini belum terjejas kerana keadaan cuaca yang baik.

Katanya, keadaan sama juga dilaporkan di bahagian Sibu, Betong, Mukah dan Sri Aman yang masih berada dalam situasi selamat.

Tiada ulasan: